Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tiada siapa menduga bayi seceria Hana Sofea Abdul Salam yang ramah disapa ini pernah bertarung nyawa akibat menderita penyakit Biliary Atresia atau kegagalan fungsi hati.

Sebelum ini, bayi berkenaan kerap merengek, kurang makan dan minum, tidak aktif selain hanya mahu berada dalam dakapan ibunya.

Hari ini hanya senyuman dan gelak tawa menghiasi wajah si cilik berusia setahun ini.

Bagi ibunya, Siti Sarah Othman, 30, budi rakyat Malaysia, keluarga dan rakan taulan sentiasa dikenang kerana sudi menyumbang dana pembedahan membolehkan mereka melihat keletah dan senyuman Hana Sofea.

Katanya, tiada kata mampu diungkapkan apabila menyaksikan keceriaan puteri kesayangan mereka sedangkan sebelum ini peluang anaknya tipis selain dihimpit masalah kewangan.

“Memang saya tahu kes penyakit seperti ini sementara menunggu pemindahan hati, kebanyakannya berakhir dengan kematian.

“Doktor kata jalan terakhir menyelamatkan Hana Sofea adalah dengan pemindahan hati, tetapi kami pula berdepan kekangan kewangan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia terutama pembaca Harian Metro kerana dengan bantuan mereka pembedahan dilakukan segera dan saya kini masih ada Hana Sofea,” katanya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga pada mulanya hanya mampu mengumpul RM50,000 berbanding jumlah keseluruhan kos rawatan di China mencecah RM200,000 sebelum pembaca Harian Metro membantu mencapai sasaran selepas kisah bayi itu disiarkan akhbar ini 28 Mei lalu.


HANA Sofea kini ceria selepas menjalani pembedahan pemindahan hati daripadanya bapanya di hospital di China 12 Julai lalu. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

“Awal Mei lalu, doktor kata keadaan Hana Sofea semakin teruk jadi kena buat pemindahan hati.

“Dalam dua bulan, kami buntu tak tahu macam mana hendak cukupkan wang.

“Kami usaha masuk Facebook dan melakukan kutipan dengan ahli keluarga dan rakan, tetapi jumlah kutipan tidak cukup. Apabila masuk akhbar ini tidak sangka dalam tempoh beberapa hari RM200,000, dapat dicapai,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Siti Sarah berkata, keadaan kesihatan Hana Sofea semakin stabil selepas menerima hati suaminya Abdul Salam Amir Hamzah Maju, 29, dalam pembedahan pemindahan hati di hospital di Shanghai, China, 12 Julai lalu.

“Selepas pembedahan, anak kami dipantau di unit rawatan rapi (ICU) selama seminggu dan selepas keadaannya semakin stabil kami dibenarkan pulang ke Malaysia, 2 Ogos lalu.

“Kini anak saya masih dikuarantin dalam bilik khas dan menjalani rawatan susulan di PPUM.

“Doakan Hana Sofea boleh menerima sepenuhnya hati ayahnya dan harapan saya semoga anak saya membesar dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 9:44 AM