PEGAWAI perubatan memeriksa mangsa yang terjatuh dari tingkat lima sambil diperhatikan orang ramai dalam kejadian di kuarters Pengkalan TUDM di Subang, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


KANAK-KANAK lelaki maut selepas terjatuh dari balkoni belakang tingkat lima kediamannya di kuarters Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian 7 malam itu, mangsa, Mohd Badrul Amin Abdul Rahman, 11, dikatakan ingin mengambil pakaian di ampaian rumah berkenaan.

“Berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa duduk di atas tembok belakang rumah sambil tangannya mencapai pakaian disidai di ampaian.

“Bagaimanapun, dawai ampaian itu terputus menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya kepada NSTP.

Baharudin berkata, bapa mangsa kemudian membawa kanak-kanak itu ke Rumah Sakit Angkatan Tentera sebelum dirujuk ke Hospital Shah Alam pada 8.50 malam.

“Kanak-kanak itu menghadapi kecederaan serius di kepala dan ditempatkan di Zon Merah hospital berkenaan.

“Doktor kemudian mengesahkan kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan dan sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti laporan polis oleh keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:37 AM