KANAK-KANAK itu ditemui diikat dalam keadaan bogel pada rangka katil bersama dua adiknya. FOTO Pear Video
Agensi

BEIJING:Seo ang budak lelaki diselamatkan selepas ditemui dalam keadaan bogel dan diikat pada rangka katil di sebuah rumah di kampung Zhaofan di wilayah Henan, tengah China.

Kanak-kanak itu dilaporkan terlalu degil dan sering lari dari rumah menyebabkan bapanya mengambil langkah mengikat anaknya pada rangka katil kayu supaya dia duduk diam.

Mail Online melaporkan, kanak-kanak berkenaan diselamatkan apabila penduduk kampung melihat budak itu diikat pada katil dan terus menghubungi polis untuk meminta bantuan.

Ketika diselamatkan, kanak-kanak itu tidak boleh bergerak kerana diikat dengan tujuh tali pada tangan, leher, paha dan buku lali.

Dua lagi budak lelaki dipercayai adik mangsa juga ditemui dalam keadaan bogel bersama kanak-kanak itu.

Stesen televisyen Shangcheng TV melaporkan, kanak-kanak itu dikenali sebagai Liu dan dia sering lari dari rumah dan tidak pulang selama beberapa hari.

Ibu kanak-kanak itu memberitahu, anaknya mengalami masalah mental dan dia tidak dapat menjaga anaknya dengan sempurna kerana terlalu miskin.

Kerana tiada pilihan bapanya memutuskan untuk mengikat kanak-kanak itu supaya dia tidak melarikan diri daripada rumah.

Polis hanya memberi amaran kepada bapa mangsa dan kanak-kanak itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan diserahkan kepada datuknya untuk dijaga.

Selepas kisah mengenai kanak-kanak itu tular, pihak berkuasa daerah menghulurkan bantuan bulanan 1,000 yuan (RM593) kepada keluarga miskin berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 8:01 AM