KEADAAN kereta yang dinaiki sebuah keluarga yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan kematian dua beradik di Jalan Beserah, Kuantan, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


DUA beradik maut selepas tercampak keluar selepas kereta Honda City dinaiki bersama ibu bapa terbabas lalu terbalik sebelum melanggar tiang lampu berhampiran stesen minyak di Bukit Pelindung, Jalan Beserah, Kuantan, semalam.

Dalam kejadian jam 11.10 malam, Nur Nailah Al Farafisha, 3, dan adiknya Nur Afina Safiya Mohd Helmiardi, 11 bulan, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pemandu kereta Mohd Helmiardi Nosaha, 29, cedera di bahagian dada, manakala isterinya, Nor Yumni Yahya, 24, patah kedua-dua kaki dan kini dirawat di HTAA.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohd Helmiardi dari arah Kuantan menghala ke Balok hilang kawalan lalu terbalik dan melanggar tiang lampu di tengah-tengah penghadang jalan, ketika melalui laluan berlopak.

“Akibat rempuhan itu, dua beradik terbabit tercampak keluar dan terjatuh atas jalan raya sebelum dibantu orang ramai.

“Semua mangsa dikejarkan HTAA untuk mendapatkan rawatan, namun dua kanak-kanak itu yang menerima rawatan di wad kecemasan HTAA meninggal dunia jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak polis tidak menjalankan bedah siasat terhadap mayat dua beradik itu atas permintaan keluarganya.

Katanya, siasatan berhubung kejadian dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 12:27 PM