Syamsul terkejut. FOTO HM Digital/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Amirul Haswendy Ashari


FILEM Munafik 2 mencatat sejarah baru perfileman tempatan apabila ditayang setiap 15 minit di pawagam popular di Putrajaya, hari ini.

Pengarahnya, Syamsul Yusof, 34, dihubungi, berkata dia terkejut malah 'hilang kata-kata'terhadap sambutan dahsyat diberikan penonton di sana.

"Saya difahamkan oleh pihak panggung, momentum ini setara atau lebih daripada filem-filem pecah panggung antarabangsa seperti filem terbitan Marvel sendiri.

"Syukurlah, ini satu kebanggaan kepada kebangkitan filem Melayu seperti Munafik 2 dan filem Hantu Kak Limah (HKL) yang akhirnya menunjukkan taring. Ini kejayaan industri filem Malaysia sendiri," katanya.

Pencapaian itu menunjukkan penonton tempatan menghargai karya-karya tempatan yang mampu memberi kesan kepada mereka.

Permintaan melampau tinggi di Putrajaya hari ini sahaja mencecah 5,500 penonton.

Panggung memulakan sesi tayangan seawal jam 10.45 pagi hari ini sehingga jam 1 pagi esok.

Setakat ini, kutipan hari kedua mencatat RM5.65 juta dengan RM3.6 juta dicatat hari pertama tayangan, semalam.

Harian Metro melaporkan, Munafik 2 mencatat rekod baru kutipan RM2.05 juta pada tayangan awal, kelmarin.

Ia memadam rekod dicatat HKL yang mengutip RM650,000 pada sesi tayangan awal, dua minggu lalu.

Selain Syamsul, Munafik 2 membariskan pelakon terkenal antaranya Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi dan Nasir Bilal Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 3:33 PM