MOHD Ridhwan menunjukkan udang komando yang dijual pada harga RM30 sekilogram. FOTO Hassan Omar

Alor Gajah: Jika sebelum ini udang belang atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai udang komando disisihkan daripada senarai hasil tangkapan menguntungkan, sekarang ia mula menjadi rebutan.

Udang komando yang sebelum ini disifatkan sebagai udang yang isinya ‘keras’ sekarang bukan setakat diperlukan nelayan untuk membolehkan kantung berisi malah digemari pelanggan.

Sejak dua tahun lalu udang itu tidak lagi diketepikan daripada udang kertas gred A dan B yang lazimnya digemari pelanggan berikutan isinya lebih enak dan menyelerakan.

Bagi nelayan, Mohd Ridhwan Manaf, 36, dan abangnya, Arman, 42, udang komando yang tersangkut pada jaring bersama udang kertas gred A dan B sumber rezeki yang sama sekali tidak dibuang begitu saja.

“Dua atau tiga tahun lalu, udang komando tidak menjadi rebutan pelanggan kerana isinya yang agak kenyal tetapi sekarang, pantang ada, pasti direbut.

“Sekarang pelanggan tidak kisah dengan isinya yang kenyal kerana yang penting mereka dapat menikmati udang segar yang baru didaratkan,” katanya ketika ditemui di Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Mohd Ridhwan yang juga tekong perahu berkata, udang kertas gred A dijual nelayan di kampung berkenaan pada harga antara RM60 hingga RM70 sekilogram (kg) manakala gred B, RM40 satu kg dan udang komando RM30 satu kg.

Arman yang juga awak-awak perahu berkata, udang komando mula dilihat sebagai hasil tangkapan menguntungkan sejak udang kertas semakin sukar diperoleh nelayan di pantai itu dan pantai lain di kawasan Melaka Barat.

MOHD Ridhwan (kanan) dan Arman (tiga dari kanan) menanggalkan udang daripada jaring sejurus selepas naik ke pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar

“Empat atau lima tahun lalu, kami boleh mendapat antara empat hingga lima kg udang gred A dan B setiap kali turun ke laut, tetapi sekarang amat sukar untuk mendapatkan jumlah tangkapan seumpama itu.

“Udang kertas semakin pupus akibat kegiatan manusia yang mengancam habitatnya dan oleh sebab permintaan terhadap udang tetap tinggi, orang ramai tidak kisah lagi untuk memakan udang komando yang isinya dikatakan kenyal,” katanya.

Pelanggan, Abu Yeop, 65, berkata, dia terpaksa menunggu nelayan naik ke darat semata-mata untuk memastikan berpeluang mendapatkan udang, termasuk udang komando.

“Nelayan tidak boleh menghalang jika pelanggan berebut untuk mendapatkan udang, termasuk udang komando kerana yang penting bagi nelayan ialah keringat mereka terbayar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 9:58 AM