SITI Elizad menjalankan pembedahan kedua bagi membuang sista sebesar lapan sentimeter. FOTO Instagram Siti Elizad
SITI Elizad menjalankan pembedahan kedua bagi membuang sista sebesar lapan sentimeter. FOTO Instagram Siti Elizad
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Siti Elizad bersyukur kerana masih mempunyai harapan untuk mengandung walaupun sudah membuang ovari sebelah kiri akibat ketumbuhan sista seberat empat kilogram pada 2015.

Elizad, 34, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin ketika ditemui Harian Metro berkata, pembedahan kedua Rabu lalu bagi membuang sista sebesar lapan sentimeter tidak mengganggu sistem peranakan.

“Pada mulanya saya datang berjumpa pakar untuk mendapatkan nasihat kehamilan menerusi kaedah In vitro fertilization (IVF). Namun, selepas pemeriksaan saya dimaklumkan terdapat ketumbuhan sista sekitar ovari.

“Doktor menasihati agar ia dibuang terlebih dahulu jika ingin hamil. Dibimbangi sekiranya saya hamil juga, ia boleh menjejaskan janin dalam kandungan. Saya ikut nasihat doktor tetapi meminta tidak membuang sebelah lagi ovari.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan. Cuma, buat masa sekarang saya perlu pastikan keadaan betul-betul sihat terutama kesan pembedahan jika ingin hamil. Dapat seorang cahaya mata pun saya bersyukur sangat. Doakan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Elizad, pembedahan kali kedua itu membuatkan dia serik dan berhati-hati dalam soal pemakanan.

“Selepas buang sista kali pertama dulu, saya menjangka ia tidak akan berulang tetapi tidak kerana sista boleh tumbuh semula.

“Difahamkan antara faktor adalah pemakanan. Selepas ini saya lebih berhati-hati. Kepada semua wanita, jaga pemakanan anda. Saya mahu makan makanan yang sihat dan disarankan doktor saja. Saya tidak mahu masalah sama berulang.

“Saya takut dibedah lagi. Sakit selepas pembedahan itu hanya Allah saja yang tahu. Nak bercakap pun rasa perit inikan pula jika batuk,” katanya.

Elizad berkata, dia dijangka keluar hospital esok namun bergantung kepada keadaan kesihatannya.

Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:49 PM