TAJUL. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin

Sekalipun perjalanan Tajul sudah terhenti pada minggu kelima di satu pertandingan nyanyian, ia tidak melemahkan semangatnya.

Malah, adik bongsu Allahyarham Achik Spin ini mengakui tidak berkecil hati dengan komen barisan juri.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari berkata banyak ilmu dan pengalaman ditimba sepanjang pertandingan itu.

“Bakat saya diketengahkan di YouTube dan kemudian dilamar menjadi artis rakaman. .

“Paling tak sangka, single pertama Sedalam Dalam Rindu menarik perhatian pendengar.

“Malah, belum sampai tiga tahun aktif dalam bidang ini saya sudah ada empat single solo dan dua lagu duet.

“Ia satu pencapaian besar dan mendapat sokongan padu peminat,” katanya.

Tajul mengakui kecewa apabila tidak dapat meneruskan perjuangan, namun akur ketentuan rezeki.

“Bohonglah kalau tak kecewa tetapi saya terima keputusan itu dengan positif dan lapang dada.

“Ini kerana memang sudah ditetapkan saya hanya dapat bertanding hingga minggu kelima dan pasrah.

“Apa yang penting, karier nyanyian saya tidak terhenti di situ dan kini berjalan lancar seperti biasa,” katanya.

Ditanya mengenai kelemahannya bermain emosi dan mempamerkan riak wajah, Tajul berkata, dia individu yang tenang.

“Saya serius dalam pertandingan yang disertai. Cuma, sikap tenang saya sukar dihakis.

“Ia perwatakan diri saya yang sebenar. Jadi, ekspresi muka saya memang sentiasa nampak bersahaja,” katanya.

Mengakui selesa begitu, Tajul memberitahu dia juga tidak ambil pusing dengan kecaman negatif netizen.

“Saya tidak kisah apa pun pandangan dilemparkan kerana itu hak masing-masing.

“Cuma, saya mohon hormatilah perasaan orang lain apabila mahu tulis komen.

“Kalau nak kecam saya seorang, okay saja tetapi janganlah sampai membabitkan keluarga,” katanya.

Menurut Tajul, apa pun dia sangat berterima kasih kepada penyokong setia yang kekal yakin dengan bakatnya.

Kembalilah Rindu taruhan baharu

Tidak gentar berdepan kemunculan ramai penyanyi baharu, Tajul tampil dengan single solo keempat berjudul Kembalilah Rindu.

Mempertaruhkan lagu yang ‘catchy’ melodinya, Tajul berharap ada sinar untuknya.

“Selepas dua single solo terdahulu, Melamar Rindu dan Hasrita yang perlahan promosinya, saya muncul pula dengan Kembalilah Rindu.

“Pada saya, melodi lagu ini menarik kerana ada kelainan dari segi vokal.

“Malah, komen pelayar di YouTube juga memberangsangkan dan apa yang diharap semoga Kembalilah Rindu mesra radio,” katanya.

Mengulas gaya persembahan nyanyiannya untuk single Kembalilah Rindu yang dikaitkan ada persamaan dengan arwah Achik, Tajul akur.

“Terima kasih dengan komen yang ditulis netizen. Saya terima dengan hati terbuka.

“Lagipun, kami adik-beradik, sedikit sebanyak pasti ada persamaan. Namun, saya tetap cuba menyanyi dengan gaya tersendiri,” katanya.

Muzik video single Kembalilah Rindu yang dimuat naik di YouTube sejak sebulan lalu mencatat lebih 400,000 tontonan.

Menurut Tajul, dia gembira dan bersyukur kerana dapat meneruskan legasi bakat seni Allahyarham Achik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 5:30 AM