YUSRY. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ramlah Zainal

Sejak dulu, minat dan kecenderungan pelakon dan pengarah terkenal Yusry Abd Halim lebih kepada kerja di belakang tabir.

Namun, selepas enam tahun tidak berlakon, Yusry kembali mengubat kerinduan peminat menerusi drama bersiri Alamatnya Cinta tahun ini.

“Sepanjang tempoh enam tahun itu, saya sibuk dengan projek pengarahan filem, menyanyi dan kerja belakang tabir produksi.

“Kali terakhir saya berlakon ialah menerusi filem Ular berganding dengan isteri, Lisa Surihani. Bukannya tiada tawaran berlakon tetapi saya menolaknya kerana kurang yakin. Mungkin kerana sudah lama tidak berlakon,” katanya.

Bagaimanapun, dia sukar menolak tawaran berlakon drama berkenaan kerana tertarik dengan skripnya.

Drama bersiri arahan Bernard Chauly dan terbitan Global Station Sdn Bhd ini menampilkan Hisyam Hamid dan Hannah Delisha sebagai watak utama.

Drama berkenaan juga menyaksikan kali pertama Yusry berlakon dalam drama bersiri TV.

“Sebenarnya, saya tidak terfikir untuk berlakon semula tetapi secara kebetulan memang ada kelapangan ketika ditawarkan projek drama ini.

“Pada masa sama, saya memang kekok dan berdebar pada hari pertama di lokasi penggambaran. Berbanding mengarah dan menyanyi, berlakon turut memberi kepuasan yang berbeza,” katanya.

Ditanya mengenai watak pula, kata Yusry, dia melakonkan watak pembantu yang tidak kurang pentingnya dalam drama bersiri itu.

“Watak saya ialah lelaki korporat dan matang yang cuba menggugat hubungan cinta heroin, Ellie Hamzah lakonan Hannah dan pasangannya dalam cerita ini.

“Lisa juga berlakon watak pembantu dalam drama bersiri ini,” katanya.

Drama bersiri 24 episod yang diadaptasi daripada drama popular Korea Selatan, Full House ini mula bersiaran pada 20 Ogos lalu di slot Megadrama Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Ia turut menampilkan lakonan Fahad Iman, Cik Manggis, Alicia Amin, Jasmine Suraya dan Azhar Sulaiman.

Menolak watak budak kolej

Pada usia 45 tahun, Yusry menolak tawaran melakonkan watak penuntut kolej berusia 20-an.

“Selepas kembali berlakon, saya percaya masih relevan untuk melakonkan watak hero dalam drama selepas ini.

“Saya juga memilih watak yang lebih sesuai dengan usia kerana peminat sudah pun mengetahui umur sebenar. Bagaimanapun, saya tidak ada masalah untuk bawa watak pembantu kerana yang penting skripnya menarik.

“Pada masa sama, saya juga sedia pertimbangkan watak hero yang berusia 30 tahun dan ke atas,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Lisa pula, kata Yusry, dia tidak ada masalah berlakon dengan isterinya dalam drama dan filem.

“Kami tiada masalah untuk berlakon sama tetapi menolak watak suami isteri ketika ini. Pada pandangan saya, tidak sesuai untuk kami berlakon watak suami isteri dalam drama dan filem kerana tidak mahu penonton bosan nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Yusry, dia dan Lisa sibuk merencana beberapa projek filem baru menerusi syarikat mereka iaitu Yureka Enterprise.

“Ia membabitkan projek filem yang dirancang syarikat membabitkan pelbagai genre pada tahun depan. Saya juga akan mengarah projek filem berkenaan.

“Lisa pula akan membantu saya menguruskan produksi kami. Mungkin Lisa juga akan terbabit dalam projek filem itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:28 AM