ZOHAR. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZOHAR. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: “Saya membesar dengan melihat mereka (rakyat Palestin) diseksa, tidak mungkin saya boleh duduk diam dan lihat saja jenayah yang Israel lakukan,” demikian kata aktivis kemanusiaan warga Israel, Zohar Chamberlain Regev.

Zohar, 48, berkata, walaupun dilahirkan dan membesar di bumi Israel, tidak bermakna beliau perlu bersetuju dengan setiap kekejaman yang dilakukan rejim berkenaan terhadap rakyat Palestin yang semakin terus menderita.

“Walaupun saya masih ada ibu bapa dan keluarga yang menetap di sana (Israel), saya sudah tiada hati untuk balik ke negara yang rakus itu sekiranya kekejaman ini masih berterusan. Saya hanya akan balik untuk mengundi apabila pilihan raya diadakan.

“Abang saya berkahwin pun, saya tidak balik kerana tidak dapat terima hakikat, bagaimana saya boleh bergembira dalam sebuah majlis perkahwinan sedangkan saya tahu, hanya kira-kira dua kilometer dari tempat saya tinggal, ada ramai insan diragut kegembiraan mereka, diseksa, dibom dan dibunuh dengan kejam.

“Syukurlah keluarga saya memahami apa yang saya mahukan. Mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya walau apa juga yang saya lakukan. Saya hanya akan berjumpa dengan keluarga saya apabila mereka datang menziarahi saya di Sepanyol,” katanya yang sudah menetap di Sepanyol sejak 14 tahun lalu.

Beliau berkata, isu Palestin bukan lagi isu berkaitan agama. Ia tidak seharusnya dilihat sebagai isu membabitkan umat Islam tetapi isu kemanusiaan yang turut membabitkan penindasan ke atas penganut agama Kristian yang menetap di wilayah konflik itu.

“Masyarakat dunia perlu sedar perkara ini, ia bukan lagi isu agama, tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan perhatian dunia supaya Israel sedar apa yang mereka lakukan ketika ini kesalahan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

“Tidak cukup hanya kecam, perlu beri tekanan politik ke atas mereka termasuk putuskan hubungan diplomatik dan perdagangan. Cara tentangan kita kepada mereka perlu diubah supaya mereka tidak terus angkuh,” katanya dalam temu bual khas bersama NSTP di sini, semalam.

Zohar sudah menyertai beberapa misi kemanusiaan ke Gaza melalui jalan darat dan laut termasuk baru-baru ini, menjadi ketua kapal Al-Awda dalam misi ‘Right to A Just Future for Palestine’ ke Gaza.

Beliau sangat bersyukur Malaysia sebagai negara berbilang bangsa mengorak langkah melancarkan Tabung Rakyat Palestin.

“Ini menunjukkan berbeza agama, budaya dan bangsa tidak menghalang kita untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh kekejaman rejim Zionis. Sampai bila mereka harus menderita? Perlu ada titik noktah penderitaan mereka ini. Tahniah saya ucapkan kepada Malaysia dengan inisiatif ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 10:32 AM