PENDUDUK (kanan) di Pos Hau Baru, Gua Musang yang menghidap tiroid. FOTO Siti Rohana Idris
PENDUDUK (kanan) di Pos Hau Baru, Gua Musang yang menghidap tiroid. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Gua Musang: Sebahagian besar penduduk di perkampungan Orang Asli di Pos Hau di sini, menghidap penyakit tiroid yang menyebabkan leher mereka bengkak dan terus membesar.

Penyakit yang dihidapi sejak usia remaja itu menyebabkan leher mereka semakin membesar serta menyebabkan sukar bernafas dan apabila di tahap itu mereka lazimnya dinasihatkan supaya membuat pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan.

Difahamkan penyakit itu disebabkan penduduk di pedalaman kurang makan makanan yang mempunyai kandungan iodin contohnya makanan laut dan gemar makan pucuk ubi kayu yang direbus serta getahnya tidak dibuang sepenuhnya.

Seorang penduduk dari Kampung Redip, Razali Ayeh, 44, berkata, dia menghidap penyakit itu sejak 20 tahun lalu dan baru enam bulan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat satu kilogram di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Pada mulanya ia bersaiz kecil saja tapi lama-kelamaan semakin besar dan agak berat di bahagian leher saya.

“Berat ketumbuhan yang besar ini menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk tidur kerana ia menyekat saluran pernafasan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Situasi sama dialami Rohani Uja, 50, yang merujuk penyakit dialaminya itu kepada pihak hospital dan diambil sampel darah untuk rawatan lanjut.

Dia yang menghidap penyakit itu sejak 10 tahun lalu berkata, setakat ini pihak hospital tidak menyarankannya untuk melakukan pembedahan namun mengakui agak terganggu dengan saiz leher yang besar terutama ketika tidur.

Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat (PPM) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Syakirin Ramli berkata, pihaknya ada menganjurkan kursus memasak kepada masyarakat Orang Asli bagi mempelbagaikan cara memasak dan tidak bergantung kepada sumber hutan semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 10:00 AM
Digital NSTP Subscribe