PADA majlis persandingan mereka pada 1999 di Serdang. Gambar kanan, gambar terkini Shazli Ezzat (kiri) bersama Haryati (kiri) dan Shazli Rifaat bersama Harlina. FOTO NSTP
Garret Dawum

Bangi: “Kehidupan kami sejak 19 tahun lalu sangat bahagia dan kini masing-masing mempunyai empat anak,” kata pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali, 46.

Dia yang juga kembar seiras melangsungkan perkahwinan pada 3 September 1999 bersama adik kembarnya, Shazli Rifaat Ghazali dengan pasangan masing-masing yang juga adik-beradik kembar seiras, Haryati Shamsudin dan Harlina Shamsudin yang masing-masing kini berusia 41 tahun.

Shazli Ezzat berkata, walaupun belum dikurniakan anak kembar, mereka dan keluarga tetap bahagia serta sering melakukan aktiviti bersama.

“Dari berkahwin hingga sekarang, kami sering keluar bersama seperti menonton wayang, berkelah atau bercuti.

“Suasana memang meriah kerana kami sangat rapat dan sering bertemu jika ada kesempatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Shazli Ezzat dan Haryati mempunyai empat anak berusia lapan, 11, 16 dan 18 tahun manakala Shazli Rifaat dan Harlina juga mempunyai empat anak berusia tiga, 13, 17 dan 18 tahun.

Kisah perkahwinan pasangan kembar seiras ini pernah dilaporkan Harian Metro pada 6 September 1999.

Biarpun memilih bidang akademik berbanding adiknya yang menceburi bidang perniagaan, Shazli Ezzat berkata, mereka saling memerlukan khususnya dalam khidmat nasihat.

“Sebagai pensyarah dalam bidang psikologi, saya banyak membantu adik dalam memberi semangat dan dorongan untuk meneruskan perniagaan.

“Begitu juga dengan saya yang mendapat dorongan daripada keluarga terutama adik ketika menghidap angin ahmar enam tahun lalu,” katanya sambil memberitahu isteri mereka masing-masing bekerja sebagai jururawat.

ANTARA pasangan kembar yang menetap di Pulau Alabat.

Menyingkap kembali kisah cinta mereka, Shazli Ezzat berkata, kali pertama dia dan Shazli Rifaat menemui isteri masing-masing ketika menghantar adik perempuan mereka mengikuti diploma kejururawatan di UKM 20 tahun lalu.

“Pasangan kembar Haryati dan Harlina yang juga kawan kepada adik perempuan mengikuti program sama dan mereka menarik perhatian ibu kami.

“Selepas itu, kami berkenalan sehinggalah ibu meminta kami dinikahkan,” katanya.

Berbanding Shazli Ezzat yang lebih tegas, adiknya, Shazli Rifaat diakui lebih ceria oleh Haryati dan Harlina.

Haryati berkata, dia dan adiknya tidak menyangka akan berkahwin dengan pasangan kembar.

“Kami bersyukur kerana mempunyai suami yang bertanggungjawab dan baik,” katanya.

Sementara itu, Shazli Rifaat berkata, pada awal perkahwinan, mereka ada tersilap memanggil isteri masing-masing apabila pakaian dipakai lebih kurang sama.

“Malah kawan juga ada silap memanggil kami dan kami membetulkannya setiap kali berjumpa mereka.

“Itulah cabaran yang kami hadapi tetapi kami terpaksa membiasakan diri hingga kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 10:27 AM