FARHANA menggunakan bahasa isyarat berkomunikasi dengan OKU di kaunter.
Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Kehadiran wanita ini di kaunter Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi satu kelegaan khusus buat orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu datang untuk berurusan membabitkan pelbagai perkara.

Jika pelanggan adalah OKU pekak dan bisu, kakitangan Baitulmal ini, Farhana Milapusamsi, 38, menggunakan bahasa isyarat untuk membantu mereka berkomunikasi dengan petugas di kaunter.

Farhana, bertugas di Unit Kecemasan Baitulmal berkata, kemahiran bahasa isyarat dipelajari daripada rakannya yang juga OKU pekak dan bisu.

“Ketika itu rakan hanya ajar saya asas bahasa isyarat saja. Selepas video saya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat tular di laman sosial MAIWP hantar saya mengikuti kelas intensif beberapa kali,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini petugas di kaunter yang tidak memiliki kemahiran bahasa isyarat meminta OKU pekak dan bisu mencatatkan masalah mereka pada kertas disediakan dan dibalas menggunakan cara sama.

Wanita itu berkata, kaedah itu menimbulkan banyak masalah malah petugas mengambil masa memahami masalah dihadapi OKU pekak dan bisu itu.

“Sebagai orang tengah saya menzahirkan setiap keinginan mereka. Kami di unit kecemasan Baitulmal, mengendalikan kes individu yang langsung tidak ada wang, senang kata poket langsung kosong.

“Individu yang membuat permohonan bukan saja dalam kalangan OKU atau orang susah tapi membabitkan mangsa rompakan dan samun. Kebiasaannya kami berikan RM50,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 6:00 AM