AYDA bersama trofi kemenangan di APM 2018.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Perjalanan karier Ayda Jebat bukan semudah kebanyakan artis ketika ini.

Selama hampir tujuh tahun dalam dunia hiburan, terlalu banyak ranjau ditempuhinya.

Walaupun pernah memenangi beberapa anugerah popular, tapi masih ramai yang tidak memandang bakat besar dimiliki gadis berusia 26 tahun ini.

Siapa sangka, berkat kesabaran dan kesungguhan penyanyi bersuara mantap ini membuahkan hasil apabila lagu Mata, ciptaan Audi Mok, Shazee dan lirik Ayda sendiri diiktiraf sebagai Lagu Terbaik Malaysia di Anugerah Planet Muzik (APM) 2018 yang berlangsung di Singapura, Jumaat lalu.

“Perjalanan lagu Mata ini sangat bermakna. Ia lambang kematangan eksperimen muzik saya. Apabila kita mencuba genre baru memang tidak mudah untuk terus diterima.

“Bagaimanapun, saya gembira dan sangat terharu ketika menerima anugerah ini. Benarlah apabila kita bersabar pengakhirannya pasti indah.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada APM kerana mengiktiraf saya dari anugerah popular sebelum ini sehingga yang terbaik untuk kali pertama dalam hidup saya,” katanya.

Menurut Ayda, dia akui perjalanan lagu Mata bukan semudah yang disangka, tapi segala cabaran itu berjaya diatasi.

“Saya percaya rezeki ada di mana-mana kalau kita tidak berhenti berusaha. Sehingga kini saya masih belajar dan tidak akan berhenti mencari ilmu dalam bidang nyanyian. Mungkin ramai yang tidak tahu saya sukakan cabaran dan akan berjuang habisan-habisan.

“Kejayaan bagi kategori terbaik buat julung kali ini adalah buat peminat yang masih terus setia mempercayai bakat yang saya miliki. Terima kasih AJ Screamer,” katanya.


AYDA ketika menerima trofi daripada Siti Nurhaliza di APM 2018, baru-baru ini.

Ditanya mengenai ucapannya yang mengatakan lagu terbabit tidak diterima di Malaysia, Ayda berkata, dia tiada niat untuk menyinggung mana-mana pihak sebaliknya hanya luahan hati.

“Ucapan saya sekadar luahan hati sebab lagu Mata jarang dimainkan di stesen radio tempatan. Barangkali ia diputarkan ketika promosi saja.

“Saya kira mungkin elemen lagu ini belum menepati kehendak stesen radio atau pendengar, namun dengan saya berharap kemenangan di APM boleh membuka mata orang yang sebenarnya negara luar menyukai konsep lagu yang sebegini.

“Saya tiada niat untuk tujukan ucapan itu kepada sesiapa. Bagi saya, rezeki Allah itu luas jika tidak di negara sendiri, mungkin ada di tempat lain,” katanya.

Menurut Ayda, pengiktirafan yang diterima mencatat kenangan manis apabila trofi itu disampaikan oleh penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya menggeletar ketika menerima anugerah ini daripada Datuk Siti. Bukan apa, saya sangat mengagumi beliau serta tak sangka saya menerima anugerah terbaik.

“Ketika menerima anugerah ini daripada Datuk Siti, beliau sempat bergurau dan berpesan supaya saya tidak pengsan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:26 AM