NOOR Nadia bersama anaknya, Nur Medina Aisya, 3, dan Muhammad Meqa Al Asyraf melihat gambar kenangan arwah suaminya, Mohd Fatah Hashim di Kampung Baru Beserah. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


MATA Muhammad Meqa Al Asyraf Mohd Fattah tidak lepas memandang kelibat anggota bomba lengkap memakai pakaian seragam ketika datang menziarahi rumah neneknya di Kampung Baru Beserah, Kuantan, sejak beberapa hari lalu.

Berulang kali juga mulut anak kecil yang berusia 22 bulan itu memanggil 'abah' seolah-olah membayangkan bapanya yang menyarung uniform berkenaan.

Muhammad Meqa adalah anak bongsu kepada Allahyarham Mohd Fattah Hashim, 34, seorang daripada enam anggota bomba yang maut ketika operasi mencari dan menyelamat remaja lemas di lombong Putra Perdana, Puchong, Selangor, Rabu lalu.

Isteri Mohd Fattah, Noor Nadia Kamaludin, 29, berkata, anak bongsunya yang sebelum ini aktif, berubah menjadi pendiam dan kerap termenung bagaikan merindui kehadiran ayahnya.

"Selepas pemergian arwah, tidurnya menjadi tidak lena malah kerap kali juga dia mengigau ketika tidur dan memanggil ‘abah, abah.’ Arwah memang rapat dengan anak-anak malah dia sering menidurkan Meqa apabila dia berada di rumah.

"Anak sulung saya (Nur Medina Aisya, 3) bagaikan memahami pemergian arwah kerana setiap kali dia bertanya saya memberitahunya bahawa ayahnya sudah tiada," katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Katanya, adakalanya hatinya sayu dan tidak dapat menahan kesedihan setiap kali anak-anaknya bertanya mengenai ketiadaan arwah namun dia perlu kuat demi mereka.

"Sejujurnya hati saya masih belum kuat untuk menerima apa yang berlaku. Orang mungkin melihat saya seakan tabah mengharungi semua ini namun saya memerlukan masa untuk memulihkan semangat ini.

"Mahu atau tidak saya perlu berlagak kuat di hadapan anak-anak. Selepas ini saya terpaksa memainkan peranan sebagai ibu dan ayah kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Noor Nadia berkata, dia perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan arwah di Klang, Selangor sebelum memutuskan dama ada untuk terus tinggal di rumah sewa mereka ataupun berpindah ke Kulai, Johor.

Noor Nadia yang menghidap penyakit tiroid berkata, mungkin sukar baginya untuk mencari pekerjaan kerana penyakitnya itu membuatkan dia kerap berasa letih.

"Mungkin selepas ini saya perlu juga mencari pekerjaan yang sesuai dengan keadaan saya demi menampung keperluan keluarga. Selain itu, saya juga memohon bantuan daripada pihak tertentu untuk membantu saya mendapatkan rumah bagi meneruskan kehidupan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 6:11 PM