PASANGAN Fatin dan Mohamad Shahir membuat laporan polis di IPD Shah Alam dengan berpakaian pengantin selepas ditipu pengusaha katering. FOTO Faiz Anuar
Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ketika pasangan mempelai lain gembira meraikan hari bahagia mereka sebagai raja sehari, lain pula kisah mempelai ini yang terpaksa ke balai polis dengan masih tersarung busana pengantin.

Pasangan ini antara puluhan mangsa yang ditipu di lima negeri oleh sebuah syarikat katering yang menggunakan artis terkenal sebagai duta.

Mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, semalam sebaik majlis kenduri selesai selepas ditipu syarikat katering membabitkan kerugian RM18,000.

Lebih malang, pasangan ini Fatin Fatihah Yusof, 26, dan Mohamad Shahir Mohd Jamani, 27, hanya mengetahui katering yang ditempah lesap sehari sebelum majlis.

Fatin Fatihah berkata, majlis yang berlangsung semalam di Dewan Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang berjalan lancar walaupun melalui pelbagai pahit manis.

“Bayangkan saya dan keluarga mengetahui pengusaha katering menghilangkan diri sehari sebelum majlis berlangsung hari ini (semalam) kira-kira jam 3 petang.

“Situasi cukup cemas apabila kami terpaksa mencari dan menggantikan katering lain saat akhir selain terpaksa mengeluarkan wang lagi,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, bapa Yusof Ismail, 63, yang juga jurunikah terpaksa merayu kepada seorang rakan yang juga ahli jawatankuasa masjid untuk menyediakan hidangan untuk 1,500 tetamu yang hadir.


BANTUAN ahli jawatankuasa masjid terpaksa dituntut untuk menyediakan jamuan majlis perkahwinan. FOTO Faiz Anuar

“Walaupun terpaksa membayar lebih mahal iaitu RM15,000 kerana tempahan saat akhir itu lebih baik daripada dimalukan di majlis sendiri.

“Bapa juga menggunakan wang persaraan untuk membiayai kos katering baru demi anak bongsu yang menjadi pengantin terakhir dalam keluarga,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai optometris di Shah Alam berkata, bayangkan kos kerugian yang ditanggung seolah membuat dua majlis perkahwinan.

“Walaupun lega majlis hari ini (semalam) berjalan lancar, namun di sebalik senyuman kami tergambar kesedihan.

“Mungkin ada hikmah di sebalik yang terjadi, kami reda bagaimanapun mahu polis menangkap mereka bertanggungjawab supaya tidak terkena kepada orang lain lagi,” katanya.

Katanya, mujurlah bapanya mempunyai sedikit wang simpanan, bayangkan jika terkena kepada orang lain, apa yang mahu dijamu kepada tetamu yang hadir.


MAJLIS perkahwinan pasangan Fatin dan Mohamad Shahir berjalan lancar walaupun ditipu katerer. FOTO Faiz Anuar

Menceritakan bagaimana mereka boleh terpedaya dengan katering berkenaan, Fatin Fatihah berkata, mereka mula mencari pakej perkahwinan selepas melangsungkan pertunangan Mac lalu.

“Kami ke syarikat katering berkenaan dan mencuba makanan dihidangkan katering, bapa berpuas hati dan setuju mengambil katering berkenaan dengan harga RM22,000.

“Mujurlah syarikat katering itu sudah membayar wang RM4,000 kepada juruhebah majlis, pelamin dan gambar, jika tidak pasti saya akan menanggung kerugian besar lagi,” katanya.

Katanya, dia mengetahui ditipu apabila perkara itu menjadi tular semalam sebelum cuba menghubungi kakitangan syarikat itu.

“Saya cuba menghubungi syarikat itu banyak kali, tapi tiada siapa menjawabnya dan nombor saya terus disekat.

“Kami ke syarikat itu dan mendapati premis berkenaan sudah kosong manakala lori ditarik oleh syarikat penghutang,” katanya.

Metro Ahad difahamkan terdapat enam mangsa di Selangor, lima di Melaka dan satu di Negeri Sembilan yang melangsungkan majlis hari ini mengalami nasib yang sama.


MAJLIS perkahwinan pasangan Fatin dan Mohamad Shahir berjalan lancar walaupun ditipu katerer. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 10:00 AM