MANGSA terselamat berehat di kawasan lapang depan Hotel Mercure.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my


PALU: Penduduk sekitar mula menggelarkannya hotel hantu apabila dipercayai hampir 100 mangsa mati tertimbus hidup-hidup dan masih belum dikeluarkan dari dalam bangunan Hotel Mercure di sini.

Dalam kejadian gempa bumi 28 September lalu, hotel lima tingkat yang amat digemari pelancong asing berikutan terletak di pinggir pantai Talise, mendap sejurus dihentam tsunami.

Akibatnya, tingkat paling bawah hotel itu terbenam ke dalam tanah menyebabkan kebanyakan mangsa yang dipercayai cuba lari menyelamatkan diri terperangkap.

Mayat 100 mangsa kebanyakannya pelanggan dan penghuni hotel bagaimanapun masih gagal dikeluarkan sejak 10 hari lalu berikutan kekurangan anggota pasukan penyelamat serta kemudahan jentera berat.

Salah seorang penduduk tempatan, Yulia M Sohaimi, 34, berkata bau busuk mayat dari bangunan hotel itu semakin kuat setiap hari berikutan belum ada usaha bersungguh-sungguh untuk mencari semua mangsa.

“Mungkin pihak sukarelawan lebih memberi fokus mencari mangsa di kawasan tragedi Balaroa dan Petobo berikutan jumlah mangsa yang lebih ramai.

“Bagaimanapun kelmarin, ada anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) berjaya menemui mayat seorang lelaki yang mati tersepit di tingkat dua hotel itu,” katanya.

Difahamkan, proses mengeluarkan mangsa mengambil masa lama berikutan keadaan bangunan hotel yang tidak stabil dan kedudukan mayat mangsa di celah runtuhan.

Berdasarkan laporan, pasukan penyelamat Perancis turut menggunakan alatan berteknologi tinggi bagi mengesan sebarang pergerakan mangsa masih hidup dan terperangkap di dalam hotel itu namun tidak menunjukkan kesan positif.

Seorang penduduk berasal dari daerah Donggala, Nurhayati Heryanto, 40, berkata orang ramai tidak berani mendekati hotel itu selepas menyedari ramai mangsa yang diyakini sudah mati berada di dalam hotel terbiar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 8:23 AM