FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan berlaku di Perak, manakala 10 kes keracunan makanan lagi di Kedah.

Menurutnya, susulan maklumat yang tular di media sosial, KKM mendapati pada 6 Oktober lalu satu notifikasi dari Hospital Gerik diterima mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian.

“Siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi membabitkan satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama dengan gejala demam, cirit-birit dan muntah.

“Mereka dilaporkan memakan laksa jam 9.30 malam pada 4 Oktober lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling jam 5.30 petang (hari sama).

“Pada 7 Oktober lalu, dua lagi kes dimasukkan ke Hospital Gerik kerana gejala keracunan makanan selepas memakan laksa yang dibeli pada 4 Oktober lalu di gerai sama di mana salah seorang mangsa dirujuk ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia jam 2.31 petang hari sama," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Dr Norhizan berkata, selain itu, 10 kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai itu turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mendapat rawatan di Hospital Baling.

“Siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan JKN Perak untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala keracunan makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama.

“KKM ingin menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala KRM supaya segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Katanya, JKN Kedah sudah menjalankan pemeriksaan dan penutupan sementara premis yang terbabit untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti punca berlakunya KRM.

“Beberapa sampel klinikal, sampel makanan dan persekitaran sudah diambil untuk ujian makmal serta sedang menunggu keputusan.

“Orang ramai diminta tidak bimbang kerana kes itu adalah terkawal dan mereka disarankan sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:50 PM