WANY ketika berucap pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. FOTO/AZIAH AZMEE
WANY ketika berucap pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. FOTO/AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Perumpamaan itu sesuai buat penyanyi Wany Hasrita apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH31), malam kelmarin.

Wany yang popular dengan lagu berjudul Menahan Rindu itu sendiri tidak pernah menjangka menjulang anugerah utama itu memandangkan kerjayanya baru memasuki dua tahun.

“Saya baru dua tahun bergelar penyanyi. Jadi, saya memang tidak menjangkakan apa-apa. Apabila nama diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, saya sangat terkejut,” katanya.

Gembira bercampur gemuruh, Wany, 26, menganggap tanggungjawabnya sebagai anak seni akan menjadi lebih berat selepas ini.

“Mendapat anugerah sebesar ini bukanlah satu perkara mudah buat saya. Saya tahu apabila peminat sendiri yang memilih, tanggungjawab saya sebagai anak seni juga menjadi lebih berat berbanding sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, Wany akan bekerja lebih keras dan pada masa sama memperbaiki segala kekurangannya.

“Sekarang saya mengikuti kelas vokal. Satu kelas mingguan untuk latihan vokal, manakala satu lagi kelas vokal untuk projek single.

“Saya kena bekerja keras kerana tak mahu menghampakan mereka yang bekerja keras menaikkan nama saya sehingga menjadi pemenang pada malam ini (kelmarin),” katanya.

Menurut Wany, ibunya sentiasa berpesan supaya memberikan hasil yang berkualiti dalam melakukan sesuatu.

“Ibu banyak berbicara dengan saya mengenai kerjaya. Untuk anugerah pada malam ini pun, dia ada berpesan kepada saya.

“Katanya, kalau saya tak menang pun ada hikmahnya. Jika menang, itu menunjukkan rezeki saya bertambah. Tapi, saya kena kerja keras untuk pastikan pengiktirafan itu selaras dengan kualiti kerja,” katanya.

WANY pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
WANY pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN

Walaupun menang besar pada malam ABPBH31, ia tidak bererti Wany menerima jutaan pujian daripada semua orang.

Baginya, semakin dia berada di atas, semakin banyak komen negatif yang terpaksa dihadapi.

“Saya suka membaca komen netizen di media sosial. Ketika menang, memang ada yang mempertikai kemenangan saya. Namun, mereka ada hak untuk memberikan pendapat dan kemenangan ini adalah rezeki saya,” katanya.

Menurut Wany, dia sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima sebarang bentuk kecaman.

“Semakin saya meningkat naik, makin orang yang akan mengecam di samping yang menyokong.

“Itu adalah lumrah dan saya sendiri sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal kerana yakin selepas ini akan ada lebih banyak lagi kecaman yang perlu saya hadap,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seninya selepas bergelar Bintang Paling Popular, Wany akan kekal fokus dalam bidang nyanyian.

“Saya pernah berlakon dalam satu telefilem sebelum ini bersama Haqiem Rusli berjudul Tergantung Rindu. Selain itu, baru-baru ini juga saya pernah berlakon untuk satu kempen bersama produk kosmetik mengenai buli siber.

WANY (tengah) terima tepukan gemurah daripada rakan artis. FOTO/AZIAH AZMEE
WANY (tengah) terima tepukan gemurah daripada rakan artis. FOTO/AZIAH AZMEE

“Bagi saya, berlakon bukanlah kerja yang mudah. Dalam kempen buli siber itu, saya perlu menangis dan bermain dengan emosi. Jadi, rasanya lebih baik saya fokus kepada muzik buat masa sekarang,” katanya.

Wany juga berkongsi rasa gembiranya apabila menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya diberitahu, kali terakhir penyanyi memenangi anugerah ini adalah pada 2009 dan pemenangnya adalah beliau. Saya sempat bertemunya dan dia pun mengucapkan tahniah kepada saya. Bagi saya, dia adalah bintang yang sentiasa membawa tenaga positif buat semua orang,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini untuk peminat, Wany sudah merancang beberapa aktiviti.

“Saya akan membawa mereka berjalan-jalan dan seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini, saya nak bawa mereka ke Zoo Negara.

“Selain itu, dalam masa terdekat juga saya akan adakan majlis doa selamat dan kesyukuran,” katanya.

Terbaru, Wany baru saja merakamkan lagu baru bersama teman duetnya, Tajul berjudul Aku Serius.

“Aku Serius adalah lagu rancak yang memang berbeza daripada lagu saya sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:15 AM