Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan tawaran kenalan lama di zaman belajar, seorang pegawai pemasaran mendakwa mengalami kerugian RM15,400 akibat ditipu menggunakan tiket penerbangan palsu.

Mangsa, Mohamad Syafarin Izarul Aiman Syairul Azli, 21, berkata, dia mula berurusan dengan seorang wanita pada Julai lalu selepas ditawarkan tiket penerbangan ke pelbagai lokasi di dalam dan luar negara dengan diskaun menarik.

“Wanita itu memaklumkan kepada saya bahawa dia boleh mendapatkan tiket penerbangan dengan diskaun 50 hingga 75 peratus daripada harga asal.

“Segala tempahan hanya dilakukan menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp dan urusan pembelian akan dilakukan olehnya kerana dia mendakwa dirinya mempunyai hubungan kuat dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

“Pada mulanya penerbangan saya serta ahli keluarga ke destinasi pilihan berjaya dan kami mendapat tiket seperti yang ditempah.

“Namun masalah mula timbul apabila tempahan tiket penerbangan seterusnya untuk keluarga ibu saudara saya ke United Kingdom, September lalu, tidak diperoleh dalam masa yang ditetapkan sedangkan dia berjanji untuk memberikan nombor tempahan tiket selewat-lewatnya seminggu atau tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

“Selepas didesak, dia memberikan nombor tempahan tiket menerusi e-mel sehari sebelum penerbangan. Ibu saudara saya sekali lagi berdepan masalah apabila gagal mendaftar masuk dan saya pasti nombor tiket itu adalah palsu,” katanya.

Mohamad Syafarin Izarul berkata, selepas mendapati tiket itu palsu, dia meminta wanita terbabit memulangkan semula duit tempahan tiket berjumlah RM11,500.

“Dia sangat licik dan hanya memberikan salinan transaksi palsu pemulangan wang selepas ibu saudara saya membuat semakan ke atas akaun banknya.

“Bukan hanya tiket itu, saya juga ditipu dengan tiket ke Kota Kinabalu berjumlah RM1,300, Sydney bernilai RM1,500 dan 20 tiket penerbangan domestik berjumlah RM1,100,” katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, pada 6 Oktober lalu untuk menuntut individu berkenaan memulangkan wangnya.

Sebelum ini pada 14 Mac 2017, Harian Metro melaporkan wanita terbabit yang berusia 23 tahun licik memerangkap lebih 100 mangsa dalam tempoh hampir setahun dengan menggunakan aplikasi dalam talian untuk mengeluarkan tiket palsu menyebabkan mangsa kerugian RM20 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 8:04 AM