PINTU rahsia pada rak untuk masuk ke bilik menyimpan rokok seludup. FOTO Syarafiq Abd Samad
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


DARI luar, ia kelihatan seperti kedai menjual produk kesihatan biasa namun di sebalik kaunter bayaran tersembunyi satu bilik rahsia yang dijadikan ‘stor’ menyimpan rokok seludup.

Penghubung antara ruangan jualan dan bilik rahsia berkenaan adalah satu pintu kecil tersembunyi di bahagian belakang kaunter bayaran yang berkeluasan 0.5 meter tinggi dan 0.3 meter lebar.

Rahsia ‘kekebalan’ premis itu terbongkar hasil risikan pegawai Pasukan Taktikal Bersenjata Kastam (COBRA) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan yang bekerjasama dengan Skuad Khas Harian Metro dalam serbuan di kedai itu di Pantai Dalam, di sini, kelmarin.

Hasilnya, sebanyak 192,840 batang rokok pelbagai jenis seperti John, Canyon, June, Saat, Gudang Garam, U2, Pine, Marlboro (Indonesia) dan Dunhill (Indonesia) dianggarkan bernilai RM148,344.24 termasuk cukai berjaya dirampas dalam serbuan jam 10.40 malam itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, selain rampasan pelbagai jenis rokok, dua lelaki warga Indonesia berusia 20-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kami turut menyita sebuah kereta Toyota Vios dipercayai digunakan pekerja premis terbabit untuk mengangkut rokok seludup itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, serbuan itu adalah hasil risikan JKDM bersama Harian Metro yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.

“Kerjasama ini adalah dialu-alukan. Salurkanlah maklumat kepada kami supaya kegiatan yang melanggar undang-undang negara dapat dibanteras,” katanya.


PINTU rahsia rokok seludup. GRAFIK Harian Metro

Terdahulu, wartawan Skuad Khas Harian Metro bersama pasukan COBRA dan Bahagian Penguatkuasaan JKDMWP melakukan tinjauan dan pemantauan di kawasan premis berkenaan yang dikenalpasti dijadikan sebagai stor menyimpan rokok seludup.

Sekitar jam 10 malam, kelibat dua lelaki dipercayai pekerja premis itu kelihatan menutup premis berkenaan.

Berdasarkan maklumat, mereka akan menaiki kenderaan Proton Iswara untuk ke suatu kawasan bagi mengambil semula stok rokok dan kembali ke premis berkenaan. Maklumat berkenaan memang tepat, kira-kira 30 minit kemudian, kedua-dua suspek kembali.

Mereka dilihat bergegas memunggah rokok dari dalam kereta untuk disimpan dalam kedai berkenaan. Dengan arahan, pasukan penguat kuasa JKDMWP melakukan serbuan.

Kami yang menyertai serbuan itu terkejut seketika apabila ‘rokok’ yang dibawa masuk ke premis itu ‘ghaib’ sebaik memasuki premis berkenaan. Kelicikan mereka bagaimanapun gagal mengaburi mata pegawai COBRA dan Penguatkuasa JKDMWP yang bergegas mencari pintu rahsia.

Lebih 10 minit mencari, usaha berkenaan membuahkan hasil apabila pintu menghubungkan ‘stor rahsia’ itu ditemui.


ANGGOTA polis membawa rokok seludup yang dirampas. Turut kelihatan dua suspek dipercayai penjaga premis. FOTO Syarafiq Abd Samad

Penemuan itu membuktikan maklumat mendakwa premis itu merupakan stor rokok yang berselindung di sebalik perniagaan produk kesihatan adalah benar.

Pegawai COBRA dan Penguatkuasa JKDMWP seterusnya menahan kedua-dua lelaki dipercayai warga Indonesia sebelum merampas semua rokok seludup itu. Operasi berkenaan tamat kira-kira jam 3 pagi, semalam.

Barangan yang dirampas termasuk kedua-dua suspek dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDMWP untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 10:00 AM