GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini
cnews@nstp.com.my

SEORANG wanita sanggup menahan kesakitan dengan melahirkan bayinya di sebuah rumah di Kubang Semang, dekat Butterworth, hari ini.

Bagaimanapun, bayi itu dipercayai meninggal dunia, sebelum wanita itu membawa jasad bayi itu dan mengebumikannya di rumah ibu di Bagan Dalam.

Bagaimanapun, rahsia wanita berusia 22 tahun itu terbongkar selepas dia pergi ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, doktor yang merawat suspek curiga sebelum menghubungi polis.

“Susulan itu, polis mendapatkan keterangan daripada suspek yang kemudian mengaku melahirkan bayi berkenaan sebelum mengebumikan mayatnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek juga tidak membuat laporan polis berhubung kematian bayinya.

Sehubungan itu, pasukan forensik yang sedang melakukan siasatan di lokasi mayat bayi itu dikatakan dikebumikan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Ia kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 4:01 PM