DALAM rakaman CCTV, mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum mangsa dipukul hingga terjatuh
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


PEKERJA di kaunter stesen minyak di Sungkai cedera dipukul dan dibaling objek, 12.45 tengah hari 6 Oktober lalu.

Berdasarkan video berdurasi 42 saat yang tular di media sosial sejak semalam, mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum mangsa dipukul hingga terjatuh selain dibaling objek.

Mangsa kemudian dibawa masuk semula ke dalam premis sambil diekori kumpulan terbabit.

Menurut laporan polis yang turut menjadi viral, mangsa yang tinggal di Kampung Changkat Sulaiman mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Berdasarkan laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf namun tidak diendahkan lalu kumpulan lelaki berkenaan menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa dan mangsa membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Wan Azharuddin berkata, susulan kejadian itu, pihaknya merakam dua percakapan berhubung kes berkenaan, 8 Oktober lalu.

“Setakat ini kes dilkasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 9:31 AM