ABDUL antara bekas penagih dadah yang berada di rumah pemulihan PENGASIH di Sungai Buloh. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ
Fazrik Kamarudin dan Nurul Hidayah Bahaudin


SUNGAI BULOH: “Sekali hisap dadah, selamanya bergelar penagih,” antara petikan yang tepat menggambarkan stigma masyarakat terhadap bekas penagih dadah.

Berhadapan dengan penolakan anggota masyarakat malah keluarga sendiri dan tanpa hala tuju, sebahagian besar bekas penagih perlahan-lahan kembali terjerumus menagih dadah.

Realitinya, 70 peratus punca penagih dadah berulang disebabkan emosi sendiri manakala selebihnya adalah faktor luaran seperti pengaruh rakan lama dan stigma masyarakat dan keluarga.

Bekas penagih dadah yang ingin dikenali sebagai Abdul, 54, berkata, kehilangan isteri yang disayangi menjadi punca dia kembali menagih.

Mengimbas kembali peristiwa empat tahun lalu, Abdul mengakui sangat kesal apabila kembali semula menagih selepas hampir 14 tahun bebas daripada najis dadah.

“Ketika isteri saya meninggal, saya rasa betul-betul kosong, kehilangan orang yang saya sayang, emosi saya tidak stabil.

“Ia tidak berlaku sekelip mata, saya mula dengan dadah lembut seperti ganja, tetapi lama kelamaan saya rasa tidak puas dan akhirnya kembali menagih heroin,” katanya ketika ditemui di Teduhan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), di sini.

Seorang lagi bekas penagih, dikenali sebagai Fazli, 39, berkata, dia kembali semula menagih selepas keluar dari penjara dengan menyalahkan masyarakat sekeliling yang menolak dan enggan menerimanya.

“Walaupun saya menjalani pemulihan, pandangan mereka masih sama. Ketika itu saya fikir jika mereka masih tuduh saya penagih dan itu punca saya kembali menagih.

“Tetapi masyarakat tidak harus disalahkan sepenuhnya berikutan jiwa saya kosong selepas bebas dari penjara dan pusat pemulihan menyebabkan saya mencari keseronokan lain,” katanya.

Azli yang kini menyumbang masa dan tenaganya bersama PENGASIH dalam program pemulihan, berkata ada juga penagih berulang disebabkan mereka sendiri belum mahu berubah.

Katanya, ada juga yang tidak percaya yang mereka boleh berubah dan mereka tidak yakin dengan diri sendiri.

“Mereka dipaksa keluarga, undang-undang mengikuti program pemulihan, sebab itu mereka bila bebas kembali menagih, perasaan ingin berubah itu tiada dalam diri mereka.

“Satu lagi sebab, mereka yang keluar dari institusi pemulihan tiada hala tuju yang jelas, masyarakat menolak mereka, akhirnya mereka kembali kepada orang yang boleh menerima mereka iaitu rakan lama yang pernah menagih bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 8:29 AM