Murni Wan Omar; Sarah Zulkifli; Farah Marshita Abdul Patah; Nor Azizah Mokhtar dan Teoh Pei Ying

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berikutan jumlah pertuduhan yang banyak, ia dibaca secara bergilir oleh tiga jurubahasa.

Zahid berdiri hampir 55 minit di dalam kandang tertuduh dan sempat menoleh kepada ahli keluarga dan sahabat yang hadir bagi menyokongnya di galeri awam.

Beliau didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM42,083,132.99 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Zahid didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Zahid didakwa sebagai suatu ejen iaitu pemegang amanah Yayasan AkalBudi melakukan pecah amanah wang berjumlah RM20,833,128 milik yayasan itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus No 133 Jalan Bunus off Jalan Masjid India, di sini antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Zahid juga didakwa secara rasuah menerima suapan daripada tiga syarikat berbeza iaitu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Syarikat Data Sonic Group Berhad, Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd.

Ia didakwa sebagai dorongan untuk dirinya seorang Pegawai Badan Awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia bagi membantu Syarikat Mastoro, Syarikat Data Sonic dan Syarikat Profound mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan onestop centre di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zahid juga berhadapan 27 pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram antara 2016 sehingga 2018.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut AMLATFPUA yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Zahid diikat jamin RM2 juta dan beliau perlu membayar RM1 juta hari ini, manakala bakinya perlu dibayar sebelum 26 Oktober ini.

Selain itu mahkamah juga memerintahkan pasport diserahkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, T Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Zahid pula diwakili barisan peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd Noh, Kitson Foongn, Syahrul Syazwan Salehin, Mohd Haziq Dhiyauddin, Datuk Rosal Azimin, Mohd Shahril Madisa dan Aiman Abdul Rahman.

Turut kelihatan di dalam mahkamah adalah isteri Zahid iaitu Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya Datuk Nurul Hidayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:48 PM
AHMAD Zahid tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin