CHE Anisah Md Saad,42, memberikan ubat cecair kepada anaknya Muhammad Azwar Mohd Ariff, 11, yang masih tidak bermaya selepas menjalani pembedahan di bahagian kepala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


“AZWAR perlu kuat, ini semua ujian Allah sebab Allah sayang Azwar,” kata Che Anisah Md Saad, ibu kepada Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah.

Che Anisah, 42, berkata, dia perlu selalu mengucapkan kata semangat itu kepada anaknya, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 11, yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas disahkan mengalami ketumbuhan di kepalanya.

Katanya, ketumbuhan itu kini menyekat pengaliran air ke tulang belakang dan doktor telah melakukan pembedahan untuk menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air, Selasa lalu.

“Alhamdulillah Azwar kini dalam keadaan stabil cuma kurang bercakap berikutan rasa kurang selesa selepas pembedahan, namun dia mampu tersenyum dan mengenali semua yang melawatnya di HSB.

“Minggu depan doktor akan melakukan imbasan sekali lagi untuk menentukan rawatan seterusnya, saya mengharapkan doa orang ramai agar Azwar sembuh dan boleh kembali bersekolah,” katanya ketika ditemui.

Che Anisah berkata, dia sangat berterima kasih kepada kakitangan Hospital Sik yang turut berkunjung ke rumahnya Sabtu lalu, dan membantu membawa Azwar ke HSB.

“Selepas berita mengenai Azwar tersiar, saya dikunjungi pegawai perubatan dari Hospital Sik yang seterusnya merujuk Azwar ke HSB Ahad lalu, sebelum proses Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dapat dilakukan.

“Setelah sekian lama, kami akhirnya dapat mengetahui penyakit sebenar Azwar dan dia sendiri menerima ketentuan Allah SWT untuknya,” kata ibu kepada lima anak itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Azwar hanya mampu menangis sambil memegang al-Quran selepas penglihatannya semakin kabur sejak dua minggu lalu, akibat penyakit misteri.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah lalu, Azwar yang hadir berkerusi roda menjadi antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berita berkaitan

Dulu johan Tilawah al-Quran, kini...

'Terima kasih doakan kesembuhan Azwar' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 1:08 PM