TINDAKAN Suresh pada aksi final. FOTO/FAIL
Mohd Khairie Khalid; Naqib Nor Said dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my

 

SHAH ALAM: Layangan dua kad merah pada aksi final Piala Malaysia sememangnya satu perkara yang jarang berlaku.

Namun, ini yang berlaku pada aksi final Piala Malaysia 2018 membabitkan Perak dan Terengganu FC di Stadium Shah Alam, sebentar tadi yang berkesudahan skuad The Bos Gaurus menang 4-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa sebenar.

Situasi itu secara tak langsung mencetuskan persoalan terhadap mutu dan kualiti pengadil Suresh Jayaraman yang mengendalikan perlawann akhir malam tadi bersama penjaga garisan Azman Ismail dan Mohd Fazli Ishak.

Pada aksi yang berlarutan hingga ke masa tambahan itu, dia dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik apabila banyak keputusan yang dibuat mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan juga penyokong yang membanjiri stadium.

Paling mengejutkan keputusan Suresh mengarahkan Gilmar da Silva keluar padang dengan melayangkan kad kuning kedua pada minit ke-56 selepas insiden pergaduhan pemain di kawasan sepakan penjuru Terengganu.

Ia berpunca daripada keengganan pemain Perak mengeluarkan bola selepas ada pemain Terengganu mengalami kecederaan sehingga menyebabkan terjadinya insiden tolak menolak antara pertahanan skuad Peteh, Igor Zonjic dan pemain sayap Bos Gaurus, Firdaus Saiyadi.

Insiden itu mencetuskan perbalahan di antara pemain kedua-dua pasukan sebelum dileraikan pegawai perlawanan dan pada akhirnya Suresh 'memilih' Gilmar untuk dibuang padang.

Selang 10 minit kemudian tiba giliran awang import Terengganu, Lee Tuck pula dilayangkan kad kuning kedua biarpun sebelum itu beberapa kali terlepas daripada hukuman angkara terjahan dan kekasaran di bahagian tengah padang.

Bukan itu saja, malah beberapa keputusan lain Suresh turut dipersoalkan termasuk membiarkan pemain kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras tanpa mengenakan sebarang amaran atau melayangkan kad.

Pengadil berusia 30 tahun itu mula menjadi pengadil Liga Super pada 2016, sebelum itu dia menjadi pembantu pengadil di Liga Perdana bermula 2011.

Berdasarkan semakan di laman web rasmi FIFA, pengadil itu tidak berada dalam senarai pengadil badan induk bola sepak dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 12:58 AM