SERANGAN udara Isreal musnahkan rumah penduduk di Gaza.
Mohd Firdaus Ibrahim


KUALA LUMPUR: “Doakan saya sahabat. Kawasan perumahan saya kini dihujani bom.”

Itu antara kata-kata Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi ketika menghubungi wartawan Harian Metro kira-kira jam 6 pagi semalam.

Menurut Hamza, tentera Zionis melakukan serangan sejak jam 1 pagi (6 pagi waktu Malaysia) dan serangan itu masih berlangsung sehingga kini.

“Serangan menyebabkan saya tidak dapat tidur. Anak pula menangis ketakutan. Kami serahkan sepenuhnya kepada Allah,” katanya yang memberitahu serangan terbabit menyasarkan kawasan rumah penduduk kurang 500 meter dari kediamannya.

Hamza berkata, serangan udara menggunakan jet pejuang F-16 menyasarkan 80 lokasi di seluruh Gaza, semalam.

“Israel umum serangan di 80 lokasi di seluruh Gaza termasuk rumah penduduk, hospital dan kawasan latihan tentera Mujahidin,” katanya.

Ditanya jumlah kecederaan setakat ini, Hamza berkata, sepanjang pengetahuannya 20 individu termasuk kanak-kanak cedera sedang diberikan rawatan di hospital berhampiran.

“Jumlah sebenar saya belum dapat pastikan. Saya kongsikan selepas mempunyai data tepat nanti,” katanya.

Menurutnya, selain rumah penduduk, Hospital Indonesia yang dibina atas sumbangan rakyat negara berkenaan juga dibom.

“Saya dimaklumkan 10 peratus hospital itu mengalami kerosakan akibat serangan berkenaan,” katanya.

Hamza berkata, pejuang Mujahidin melepaskan beberapa roket ke kawasan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan itu.

“Ia sebagai tindak balas terhadap serangan kejam Israel.

“Israel berkongsi kejayaan mereka memintas beberapa roket dilepaskan dari Gaza ke kawasan mereka,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan sebanyak 20 dron dan enam jet pejuang F-16 digunakan tentera rejim Israel untuk mengebom Gaza.

Serangan udara bermula jam 5 pagi itu membabitkan 24 lokasi di Beit Lahya di utara Gaza (3 lokasi), Zaitoun di timur Gaza City (3 lokasi), Gaza City (6 lokasi), Khan Younis di selatan Gaza (8 lokasi) dan Rafah (4 lokasi).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 9:52 AM