JAMALUDIN menyempurnakan penganugerahan beret hijau, pisau komando pada Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/2/2018.
HM Digital

Kuala Lumpur: Disarungkan beret hijau di kepala dan dianugerahkan pisau komando antara kenangan tidak dapat dilupakan bagi 76 pegawai serta anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas mereka menamatkan latihan asas komando, sekali gus bergelar warga Grup Gerak Khas (GGK).

Lima pegawai dan 71 anggota daripada pelbagai perkhidmatan TDM ini turut berasa puas kerana mampu membuktikan mereka layak bergelar warga GGK selepas melepasi latihan asas selama 12 minggu.

Mereka dianugerahkan beret hijau dan pisau komando pada Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/2/2018 yang disempurnakan Ketua Staf Am 21 GGK, Brigadier Jeneral Datuk Jamaludin Jambi di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka, Sabtu lalu.

Pada majlis itu, prebet Mohd Khairul Azmieyzan Abdullah dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) diumumkan sebagai penuntut terbaik kursus.

KETANGKASAN anggota komando menunjukkan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan.

Turut hadir, Komandan PULPAK, Kolonel Adi Ridzwan Abdullah, Pengarah Gerak Khas, Kolonel Othman Mustaffa, veteran GGK dan keluarga penuntut kursus.

Beret Hijau adalah kemegahan warga GGK, lambang keagungan, keperwiraan serta satu lambang mutu keperibadian yang tinggi nilainya.

Sebelum ini, mereka sanggup berkorban apabila meninggalkan keluarga termasuk anak dan isteri selama tiga bulan semata-mata mahu mengikuti kursus asas komando yang sangat mencabar.

Kursus asas yang disertai pula bertujuan melatih penuntutnya agar mempunyai daya ketahanan dan fizikal yang tinggi sejajar dengan kepakaran GGK sebagai barisan penyusupan TDM.

Terdahulu, acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta demonstrasi kepakaran Gerak Khas.

Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan trup tentera darat khususnya 11 RGK dan 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain perisai pertahanan negara.

Turut dipersembahkan kepada orang ramai adalah kepakaran penggunaan payung terjun oleh anggota GGK.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 7:47 AM