AYDA mahu jadi yang terbaik.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


MENJADI yang terbaik. Itulah impian setiap anak seni yang berkarya tidak kira dalam apa jua bidang sama ada di kaca televisyen, layar perak ataupun produksi belakang tabir.

Soal populariti atau simbahan cahaya glamor bukan lagi menjadi perkara utama, sebaliknya kualiti dalam setiap naskhah yang dibintangi menjadi keutamaan.

Siapa sangka, sebaik mengetahui karya dijayakan tercalon sebagai antara yang terbaik, sudah cukup membuatkan hati penyanyi dan pelakon Ayda Jebat berbunga apabila segala usaha yang dicurahkan membuahkan hasil lumayan.

Menurut Ayda, ketika dimaklumkan drama Aku Nazmi dan filem Pinjamkan Hatiku lakonannya dicalonkan dalam Anugerah Skrin 2018 (ASK2018), dia teruja kerana kedua-dua watak yang dijayakan bukan calang-calang.

“Menerusi drama Aku Nazmi, saya menjayakan watak Ilya, seorang gadis yang tidak boleh mendengar dan bercakap. Jujur watak ini sangat susah sebab kena belajar bahasa isyarat.

“Selama seminggu saya mengikuti kelas disediakan penerbit Sheila Rusly. Sepanjang tempoh itu, boleh dikatakan hampir setiap hari saya menangis sehinggakan saya rasa nak pulangkan duit bayaran lakonan kepada pihak produksi kerana cabaran yang dilalui betul-betul sukar.

“Apa yang membuatkan ia susah kerana pada masa sama perlu ada reaksi muka. Kalau setakat isyarat tangan ia boleh dihafal. Ini pertama kali saya melakonkan watak sebegitu,” katanya.

Ayda berkata, filem Pinjamkan Hatiku juga turut menguji kredibilitinya sebagai pelakon apabila menuntutnya bermain dengan emosi yang sarat.

“Saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada pelakon tersohor, Fauziah Ahmad Daud. Saya juga berterima kasih kepada Shaheizy Sam dan Farid Kamil kerana mereka banyak membantu saya menghidupkan watak Laila.

“Walaupun mengalami kecederaan kecil ketika menjalani penggambaran filem ini, semuanya berjalan dengan baik. Jujur dua naskhah ini melalui perjalanan yang sukar tapi ada kenangan dan pengalaman manis di sebaliknya,” katanya.

ASK2018 bakal berlangsung esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula jam 9 malam dan akan ditayangkan secara langsung di TV3.

Melihat impak positif kedua-dua naskhah yang dibintangi sememangnya mempunyai harapan pada anugerah terbabit.

Melihat respons positif terbabit Ayda memberitahu dia juga meletakkan harapan tinggi supaya drama dibintangi itu membawa pulang anugerah.

“Kalau sudah tercalon, tentunya saya meletakkan harapan tinggi untuk melihat drama Aku Nazmi membawa pulang anugerah Drama Terbaik. Begitu juga dengan filem Pinjamkan Hatiku yang diarahkan Osman Ali.

“Kemenangan untuk kategori terbaik ini adalah penghargaan besar kepada hasil kerja seseorang anak seni.

“Ia juga platform terbaik untuk anak seni memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap watak yang dijayakan.

“Bagaimanapun, drama dan filem yang tercalon masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri. Barangkali ia akan menyukarkan juri untuk memilih karya yang terbaik,” katanya.

Ditanya adakah penting bagi seseorang anak seni untuk menang apa jua bentuk anugerah atas karya yang diusahakan, Ayda berkata, pengiktirafan adalah bonus untuk seseorang artis melonjakkan kariernya.

“Anugerah bukan soal utama tetapi apa yang saya inginkan adalah penerimaan karya kami sebagai anak seni diiktiraf masyarakat.

“Selain itu, anugerah yang diterima juga dapat membantu mutu lakonan seseorang pelakon memberikan hasil yang terbaik pada masa mendatang,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda juga bakal tampil dengan single terbaru berjudul Temberang hasil kerjasama dengan Hael Husaini dan Ezra Kong tidak lama lagi

“Saya masih mengekalkan konsep lagu rancak tapi ada elemen berbeza untuk single ini.

“Diharapkan proses pelancaran lagu ini berjalan dengan baik dan diterima pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 6:30 AM