PENDAKIAN ke  Base Camp Gunung Everest antara  jelajah disertai  Faralina.
PENDAKIAN ke Base Camp Gunung Everest antara jelajah disertai Faralina.
Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap acara larian, aktiviti lasak dan pameran pengubahsuaian motosikal mendorong Faralina Abdullah, 30, mengikuti aktiviti terbabit di luar negara.

Malah, peluang itu digunakannya untuk mengembara secara solo di setiap lokasi penganjuran.

Faralina berkata, dia sudah menjelajah hampir 20 negara seperti United Kingdom, Perancis dan Switzerland sejak memulakan pengembaraan solo pada 2011.

“Saya bukan sekadar mengikuti acara larian atau melakukan aktiviti lasak seperti mendaki, tetapi akan melancong di negara yang disinggahi untuk melihat sendiri keindahan negara terbabit.

FARALINA memulakan jelajah solonya pada 2011 termasuk menyertai acara larian.
FARALINA memulakan jelajah solonya pada 2011 termasuk menyertai acara larian.

“Ketika melancong, saya juga ada melihat aplikasi sebuah jenama sukan untuk mengikuti aktiviti komuniti itu seperti larian jika mempunyai kelapangan.

“Melancong sambil melakukan aktiviti seperti berlari mengajar saya untuk mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Menurut Faralina atau mesra dipanggil Elyna, dia juga mengenali lebih ramai kawan menerusi aktiviti yang disertai.

“Sudah tentu saya akan menambah kenalan dari pelbagai negara kerana kami berkongsi minat yang sama.

“Selain itu, saya juga gemar melancong secara solo untuk lebih berdikari dan berani berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Bergerak secara solo di negara orang sememangnya memerlukan keberanian kerana kita meletakkan risiko pada diri sendiri jika berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan,” katanya.

Faralina berkata, dia juga gemar melawat negara yang mempunyai tarikan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan pernah mendaki sehingga Base Camp Gunung Everest pada 2012.

“Saya mengakui aktiviti ini banyak mengubah lanskap hidup saya untuk menjadi individu yang lebih berani dan berdikari,” katanya yang pernah mengikuti maraton di Osaka, Jepun dan Bali, Indonesia baru-baru ini.

Menurutnya, memandangkan minat utamanya ketika melancong ialah mempelajari perkara baru di negara orang, dia juga menggunakan wang yang ada sebaiknya tanpa perlu membazir dengan membeli-belah.

“Destinasi pertama pengembaraan saya ialah United Kingdom apabila saya mendapat cabutan tiket bertuah iaitu tiket penerbangan ke negara itu ketika majlis makan malam syarikat tempat saya bekerja,” katanya.

“Pada awalnya perasaan takut berada di tempat orang secara solo ada dalam diri. Namun saya berfikiran positif bagi mendapatkan keyakinan diri untuk mengembara ke beberapa tempat menarik di negara itu,” katanya.

Faralina berkata, wanita di luar sana patut meneruskan hasrat untuk mengembara secara solo kerana banyak pengalaman yang akan diperoleh apabila berada di tempat orang.

“Cuma jika mahu mengembara secara solo, pastikan kita meminta nasihat dan membaca coretan pengalaman pengembara lain kerana banyak input berguna akan kita peroleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 7:07 AM