ANGGOTA APM Kuala Lumpur membantu mangsa yang trauma akibat diragut di Jalan Raja Chulan berhampiran KL Forest Eco Park, petang semalam.
Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Diseret dan kepala terhentak di atas jalan akibat diragut penjenayah. Itu nasib malang dialami peniaga wanita selepas beg tangannya diragut di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa berusia 36 tahun berjalan kaki di hadapan pusat beli-belah berkenaan sebelum beg tangannya mengandungi wang tunai RM300 dan batu jed dianggarkan bernilai RM10,000 diragut lelaki yang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, selain wang tunai dan batu jed berkenaan, mangsa turut kehilangan pelbagai dokumen penting dalam beg tangannya.

“Mangsa diragut sehingga terjatuh menyebabkannya mengalami bengkak dan lebam pada dahi.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan peragut menaiki motosikal Yamaha LC berwarna gelap, bagaimanapun nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang memakai jaket dan topi keledar berwarna gelap dilihat menunggang motosikal seorang diri melalui Jalan Raja Chulan menghala ke Pusat Perubatan Prince Court di sini.

“Suspek kemudian dilihat membuat pusingan U sebaik sampai di hadapan mangsa dan terus meragut wanita itu.

“Dalam kes berasingan, kami turut menerima maklumat daripada pihak keselamatan KLCC berhubung satu kejadian ragut di pusat beli-belah itu yang berlaku jam 11.30 pagi semalam.

“Menerusi semakan rakaman CCTV yang dibuat, kami syak ia didalangi suspek sama,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian ketiga, wanita berusia 55 tahun dilaporkan cedera selepas diragut di Jalan Raja Chulan berhampiran KL Forest Eco Park (Bukit Nanas) di sini, jam 6 petang semalam.

Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur yang menerima laporan kejadian itu menghantar sepasukan anggotanya ke lokasi untuk membantu mangsa yang cedera.

Menurut jurucakap APM Kuala Lumpur, mangsa yang trauma akibat kejadian itu diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Shaharudin memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian ragut terbaru itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:59 AM