ZULKIFLI beramah mesra bersama penduduk yang hadir pada sesi dialog bersama komuniti PPR Seri Pantai, kelmarin.
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Golongan remaja direkrut dan diberi upah oleh tokan dadah untuk menjadi pengintip dikenali sebagai ‘jaga air’.

Mereka diarah menyalurkan maklumat setiap aktiviti penguatkuasaan dilakukan di kawasan jagaan, sekali gus menyukarkan pihak polis atau Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil tindakan terhadap aktiviti haram itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah susulan kebimbangan pembabitan golongan remaja dengan gejala dadah.

Menurutnya, masalah remaja terbabit salah guna dadah perlu ditangani secara agresif.

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 58 peratus kawasan berisiko tinggi ( aktiviti dadah) adalah di PPR (Projek Perumahan Rakyat).

“Dalam operasi Op Perdana yang diadakan, kami fokuskan unit rumah, kawasan tangga, taman permainan dan rumah kosong di PPR kerana ia menjadi lokasi utama kegiatan dadah,” katanya pada sesi dialog bersama komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di sini, kelmarin.

Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Zulkifli berkata, ia adalah susulan Op Perdana yang dilaksanakan pada 31 Oktober lalu.

“Sesi dialog ini bertujuan bertemu pemimpin komuniti, berbincang dan mengumpul maklum balas serta maklumat di peringkat bawahan. Ia satu masalah serius dan memerlukan penyelesaian secara holistik serta kerjasama padu masyarakat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu undang-undang baharu bagi menangani gejala sosial terutamanya masalah dadah dalam kalangan remaja.

Undang-undang itu antara lain akan membolehkan pihak berkuasa memanggil ibu bapa atau penjaga remaja bermasalah untuk mengikuti sesi kaunseling.

Langkah ini dilihat antara kaedah boleh dilakukan untuk membanteras masalah dadah di peringkat awal.

“Amat merisaukan apabila rata-rata generasi remaja kini mempunyai masalah sosial menyebabkan mereka terjebak dalam kancah dadah. Dengan adanya undang-undang ini, kita positif ibu bapa akan lebih memantau aktiviti anak-anak mereka.

“Sesi kaunseling ini dapat mengenal pasti masalah yang dialami seterusnya cuba menyelesaikannya secara konsisten, kerana kami percaya pencegahan terbaik bermula di rumah. Kami mahu ibu bapa tidak lepas tangan terhadap masalah dihadapi anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:03 AM