Tuan Asri Tuan Hussein
cnews@nstp.com.my


Palu (Sulawesi): Walikota atau Datuk Bandar Palu Drs Hidayat menafikan wujud elemen bertentangan Islam di dalam acara Pesona Palu Nomoni.

Beliau juga dengan tegas menolak pendapat mengatakan bencana ‘tiga dalam satu’ di wilayah Sulawesi Tengah pada tanggal 28 September 2018 itu adalah hukuman Allah berikutan ‘kesesatan’ festival berkenaan.

“Berita dan gambar yang tersebar (di media sosial) mengatakan ada acara potong babi, potong kepala kerbau...ia sama sekali tidak ada semasa kejadian itu (28 September). Itu semua omong kosong,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pada tanggal hari kejadian festival Pesona Palu Nomoni yang mengetengahkan persembahan kebudayaan penduduk tempatan sepatutnya dirasmikan di pantai Talise pada jam 8 malam, namun ia tidak sempat berlangsung kerana gempa dan tsunami melanda kira-kira jam 6 petang.

Bagaimanapun, Hidayat mengakui bencana yang melanda itu amat dahsyat dan belum pernah berlaku sebelum ini kerana tiga bencana berlaku hampir serentak.


PESERTA misi kemanusiaan Palu 4.0 bersiap sedia untuk solat Maghrib bersama penghuni khemah perlindungan sementara di Layana Indah, Palu.

“Ia bencana alam yang sangat ‘lengkap’. Pertama, berlaku gempa bumi yang meruntuhkan dan merosakkan bangunan. Kemudian berlaku tsunami yang memusnahkan 13 kampung di pesisir pantai Palu.

“Seterusnya berlaku pula liquifaksi (kecairan tanah). Ia mungkin yang pertama kali berlaku di dunia dan sangat luar biasa,” katanya.

Menurutnya, liquifaksi itu berlaku dia dua lokasi. Pertama, di Pertobo di mana tiga per empat daripada kampung itu musnah selepas tanah berpusing dan beralih arah. Kira-kira 1,000 orang tinggal di kampung itu. Hidayat berkata, lokasi kedua berlaku liquifaksi ialah di Balaroa. Keadaan tanah di situ seolah-olah di dalam mesin pengisar, menyebabkan tanah dari perut bumi melonjak ke permukaan.

“Lebih 700 orang tinggal di kawasan itu. Ramai yang hilang dan dikhuatiri maut. Mayat mereka belum ditemui,” katanya.

Beliau ditemui ketika penulis menyertai Misi Kemanusiaan Palu 4.0 anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia.

Turut serta dalam misi dianggotai 26 orang itu ialah sukarelawan Selayang Care dan Surau Al-Muhsinin KLCC Petronas.

Penulis dan semua anggota rombongan seboleh-bolehnya mahu mempercayai segala apa yang dikatakan Hidayat kerana menyedari selaku pentadbir nombor satu di Palu, dia amat mengetahui apa yang berlaku.

Bagaimanapun, maklumat yang dikutip daripada sesi pertemuan dengan penduduk, agamawan dan pemimpin masyarakat setempat menghadirkan fakta berbeza.

Majoriti mereka yang ditemui percaya bencana ‘tiga dalam satu’ yang melanda Palu adalah hukuman Allah kerana kealpaan penduduk di situ.

Kata seorang pemimpin masyarakat yang ditemui di Layana Indah, sudah ada ‘peringatan’ dari Allah ketika Pesona Palu Nomoni diadakan pada 2017 dan 2016 iaitu ribut serta hujan lebat.

Lantas, penduduk meminta festival bermotifkan pelancongan itu tidak diteruskan tahun ini. Namun, ia tidak dihiraukan.


PESERTA misi kemanusiaan Palu 4.0 bergambar kenangan bersama Drs Hidayat.

“Saya juga berpendapat hukuman yang kami terima ini bukan disebabkan festival Nomoni saja tetapi banyak lagi kelalaian kami.

“Sebagai contoh lokasi berlakunya gempa bumi, tsunami dan liquifaksi itu memang dimaklumi penduduk tempatan sebagai tempat banyak berlaku maksiat, ada di antaranya kami namakan Las Vegas Indonesia,” dakwanya yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Rudi.

Kenyataan sebegini pastinya amat sensitif kepada sesetengah pihak yang menetap di Palu atau wilayah lain yang turut terbabit dalam bencana itu, seolah-olah mereka golongan pendosa.

“Siapalah kita untuk menghukum mereka sebegitu,” kata Setiausaha Agung Muslim Care, Ahmad Rashdan Ikhsan yang juga pendakwah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan.

Menurutnya, apa yang lebih utama ialah mengambil iktibar dan insaf di atas apa yang berlaku.

“Rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam perlu menjadikan ini semua iktibar. Apabila Allah menghukum, bukan saja terhadap pendosa...orang beriman juga akan kena sekali. Kita wajib insaf dengan apa yang berlaku di Palu,” katanya.


PENDUDUK Desa Balaroa gigih meneruskan semula kehidupan biarpun rumah mereka ranap.

Ahmad Rashdan melihat kejadian liquifaksi di Balaroa dan Pertobo terutamanya di mana struktur tanah berubah menjadi tidak keruan benar-benar menepati apa diceritakan di dalam al-Quran menerusi ayat satu hingga tiga surah al-Zalzalah yang bermaksud:

“Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi??”

Kata Ahmad Rashdan, surah itu secara keseluruhan menceritakan mengenai hari kiamat dan apa yang berlaku di Balaroa dan Pertobo seolah-olah gambaran hari berkenaan.

“Penduduk Palu memberitahu saya pada hari kejadian mereka hairan dan tertanya-tanya apabila tanah berombak, berubah kedudukan dan berpusing seperti dalam mesin pengisar.

“Mereka sudah biasa dilanda gempa tapi belum pernah mengalami situasi yang dinamakan liquifaksi itu. Keadaannya sama seperti dalam surah al-Zalzalah. Itu rumusan saya,” katanya yang sudah tiga kali pergi ke Palu untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan.


ANTARA penempatan yang dibina semula untuk mangsa gempa di Desa Jonooge, Sigi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:05 AM