Amir Abd Hamid


KUALA LUMPUR: Pembunuh dari langit. Itu ungkapan sesuai untuk menggambarkan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir penghuni kediaman bertingkat yang mencampak objek keras atau sampah dengan sesuka hati dari tempat tinggi.

Sikap sedemikian bukan saja menggambarkan mereka sebagai individu tidak bertanggungjawab sebaliknya tidak cakna terhadap keselamatan orang lain meskipun dalam insiden sebelum ini sudah ada nyawa melayang.

Insiden menimpa seorang pelajar lelaki tingkatan tiga, S Sathiwaran yang maut ditimpa kerusi pejabat pada 15 Januari lalu, paling menarik perhatian masyarakat negara ini.

Dalam kejadian itu kerusi pejabat berkenaan dipercayai dilempar dari tingkat 21 bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini.

Akibat ditimpa kerusi berkenaan otak mangsa terburai dan remaja itu disahkan meninggal duniadi pangkuan ibunya.

Manakala dalam kes terbaru, di PPR Gombak Setia, 2 November lalu, remaja 19 tahun Muhammad Iqmal Abdul Razak, menerima 15 jahitan
di kepala apabila sepit udang bersama roda hadapan basikal menjunam ke atas kepalanya.

Ikuti temubual wartawan Harian Metro bersama bapa mendiang Sathiwaran iaitu K Sathiasilan, 45, dan Muhammad Iqmal.

Mereka masih trauma akibat kejadian yang terjadi berpunca disebabkan kurangnya kesedaran sivik segelintir penghuni.

Wartawan turut mendapatkan ulasan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim yang antaranya meminta masyarakat sekiranya tidak berani menegur secara berdepan, gunakanlah kecanggihan telefon pintar untuk rakam pelakuan tidak bersivik itu seterusnya dihantar kepada pihak berkuasa supaya tindakan setimpal dapat dikenakan terhadap pelaku.

Kes 1: S Sathiwaran (maut)

“Kes anak saya masih tidak terungkai walaupun sudah 10 bulan berlalu. Saya rasa kecewa dan kerap bertanya kepada polis khusus pegawai penyiasat sama ada siasatan dihentikan atau masih berjalan?

“Setiap bulan sejak kejadian itu saya tak pernah duduk diam. Saya nak tahu siapa yang buat. Saya mahukan keadilan atas tragedi menimpa anak saya,” kata Sathiasilan, bapa kepada mendiang S Sathiwaran.

Beliau yang ditemui di rumahnya di PPR Seri Pantai menjelaskan, pihak Biro Bantuan Guaman juga sudah menyatakan kesediaan untuk membantu sekiranya kes itu ditutup.

Sathiasilan, bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, wakil biro turut menjelaskan sekiranya kes ditutup atas faktor cap jari suspek tidak dapat dikesan maka tindakan saman boleh diambil terhadap pihak polis.

“Polis kena betul-betul buat kerja, barulah kes ini boleh cepat diselesaikan. Kalau cakap cap jari tak dapat dikenal pasti, mesti saya saman.

“Sebab pada hari kejadian selepas hampir dua jam baru pasukan forensik sampai, waktu itu hujan renyai-renyai pastinya kerusi itu juga basah dan mungkin menyebabkan kesan cap jari hilang.

“Bayangkanlah kejadian kira-kira jam 8 malam tetapi jam 11 lebih baru mayat anak saya boleh dibawa keluar dari lokasi sebab menunggu pasukan forensik,” katanya.

Menurutnya, selain berjumpa wakil Biro Bantuan Guaman, dia turut mengambil inisiatif menemui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Malah dia turut berjumpa Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil bagi memastikan kes anaknya dapat diselesaikan segera.

Mengenai perkembangan terbaru keluarganya pula, Sathiasilan berkata, dia bersama isteri M S Kasthuribai, 45, dan anak sulung mereka akan berpindah ke kediaman baru awal tahun depan.

“Isteri sangat trauma, bayangkanlah ibu mana yang tidak sedih apabila anak sendiri meninggal dunia di pangkuannya. Malah isteri turut memegang otak mendiang yang terburai.

“Tiada sambutan Deepavali untuk kami pada tahun ini. Kesedihan kesan tragedi ini masih membelenggu kami sekeluarga. Lebih-lebih lagi ‘si pembunuh’ masih belum ditangkap dan didakwa,” katanya.

Dia turut menyuarakan rasa kesal berikutan kes membuang objek dari tingkat atas kediaman bertingkat masih berlaku di negara ini.

Baginya seolah-olah kematian anaknya tidak memberikan kesan atau mengubah sikap penghuni kediaman bertingkat.

“Kita buang objek ada orang kena, lain kali kita atau anak kita yang kena pula macam mana? Anak saya sudah mati pun mereka yang tak ada kesedaran sivik ini tak mahu juga ambil iktibar.

“Kes ini menggemparkan negara dan tular di media sosial, betapa teruknya masalah sivik segelintir masyarakat kita. Masih ada lagi buang objek seperti televisyen dan pintu almari selain sampah dapur. Ini sikap gila dan langsung tidak bermoral.

“Objek yang berat seperti itu, budak kecil tak boleh dan tak larat nak angkat campak dari koridor, tentunya kerja orang dewasa,” katanya.

Jelasnya ketika baru berpindah ke PPR Seri Pantai iaitu pada April 2003, dia pernah terkena sisa nasi dan kuah yang dicampak dari tingkat atas menyebabkan badan dan pakaiannya kotor.

Kes 2: Muhammad Iqmal Abdul Razak (cedera: 15 jahitan di kepala, luka di bahu, lengan dan bengkak di paha)

Selepas kejadian kepalanya bocor ditimpa sepit udang bersama roda hadapan basikal, pemuda ini mengakui masih trauma walaupun sekadar hanya untuk berjalan di tingkat bawah bangunan PPR Gombak Setia yang juga kediaman keluarganya.

Muhammad Iqmal yang tinggal di tingkat enam bangunan itu berkata, setiap kali mahu melalui tingkat bawah dia akan mengelakkan daripada melalui kawasan berdekatan rumah pembuangan sampah.

Katanya, lokasi insiden menimpanya terletak berhampiran rumah pembuangan sampah yang dilengkapi beberapa tong sampah besar.

“Segelintir penduduk yang mahu membuang sampah atau objek tak berguna malas nak turun. Jadi hanya campak saja dari atas dengan harapan masuk terus ke dalam tong sampah berkenaan.

“Sikap malas, tiada kesedaran sivik dan tidak bertanggungjawab itulah yang menyebabkan saya hampir hilang nyawa. Syukur saya masih bernafas.

“Kalau polis berjaya tangkap pelaku yang buang objek berkenaan hingga kena kepala saya harap bawa individu berkenaan berjumpa saya. Biar dia lihat sendiri kecederaan saya tanggung atas perbuatannya,” katanya.

Dia yang mendapat cuti sakit (MC) selama 10 hari berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasang jaring atau bumbung di tingkat bawah berhampiran koridor dan tempat pembuangan sampah berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan insiden sama menimpa orang lain akibat sikap malas segelintir penghuni kediaman bertingkat itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Muhammad Iqmal cedera di kepala dan menerima 15 jahitan selepas terkena tayar dengan sepit udang yang dibuang dari tingkat atas blok PPR itu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa menunggu rakannya di tempat letak motosikal sebelum terasa sesuatu objek terkena di atas kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 8:17 AM
LOKASI kejadian tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas flat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia Blok 41, Akibat kejadian mangsa terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selain luka pada bahagian siku. FOTO/ SAIRIEN NAFIS