Skuad Khas Harian Metro

GUANGZHOU (China): Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada sebuah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI didapati membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Ketirisan itu terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini datang ke sini selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.


BANGUNAN yang menempatkan pejabat OSC cawangan Guangzhou.

Untuk rekod, eNTRI adalah kemudahan pendaftaran atas talian disediakan kerajaan Malaysia untuk memudahkan kemasukan warga China yang tinggal di Tanah Besar China ke Malaysia di bawah Program Pengecualian Visa.

Untuk memiliki eNTRI pelancong China perlu membayar wang pemprosesan atau fi sebanyak RMB160 (RM100) bagi setiap permohonan yang hanya boleh dibuat melalui laman web www.windowmalaysia.my.

Sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, UKSB sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

Difahamkan, UKSB juga melantik 20 ejen di seluruh China bagi menguruskan sistem permohonan eNTRI.

Bagi membuktikan ketirisan dan kelemahan sistem ini, wartawan Harian Metro membuat permohonan eNTRI dengan menyertakan foto seekor beruk, nombor tiket palsu dan alamat sebuah agensi pihak berkuasa di Malaysia.

Dengan bantuan ejen pelancongan, satu pasport palsu turut digunakan dan permohonan itu diluluskan kurang dari lima minit sebaik fi dibayar.

Ini menunjukkan begitu mudah borang kemasukan atau tapisan awal itu diberi tanpa mengambil kira foto, alamat dan tujuan lawatan.

Wartawan juga menemubual seorang ejen pelancongan yang mahu dikenali sebagai Raymond, 50, bagi mendapat gambaran mengenai penyalahgunaan sistem berkenaan.

Kali pertama bertentang mata dengan Raymond, wartawan diingatkan supaya berhati-hati kerana rangkaian syarikat pengendali itu sangat berpengaruh kerana membabitkan urus niaga bernilai ratusan juta setahun.

Menurutnya, sejak UKSB dilantik sebagai pengendali penuh kepada proses permohonan visa termasuklah eNTRI, kebanyakan syarikat pelancongan di negara ini tidak lagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan disebabkan pelbagai masalah yang timbul termasuklah penipuan dan caj fi lebih tinggi daripada sepatutnya.

Raymond turut memberikan salinan surat pekeliling dikeluarkan JIM mengenai lantikan syarikat berkenaan.


BORANG permohonan yang turut disertakan foto beruk.

“Sesiapa sahaja boleh memohon eNTRI ke Malaysia melalui Internet. Mereka hanya perlu melayari laman web khas untuk mengisi data peribadi dan dokumen perjalanan lain yang dikehendaki sebelum membuat bayaran. Kelulusan antara lima hingga 10 minit. Kadang-kala, (kelulusan) tidak lebih lima minit selepas membuat bayaran,” katanya.

Raymond menegaskan, disebabkan kewujudan eNTRI itu berlakunya penipuan oleh individu tertentu termasuklah mereka yang disenarai hitamkan.

“Kamu bayangkan, mereka yang disenarai hitam kerana diusir dari Malaysia membuat pasport baharu dan melakukan permohonan melalui eNTRI. Sediakan sahaja dokumen perjalanan seperti tiket, malah tiket penerbangan palsu, pasti akan lulus,” katanya.

Raymond turut memberikan salinan surat pekeliling dikeluarkan JIM mengenai lantikan syarikat berkenaan.

Bagi memastikan kesahihan dakwaan Raymond, wartawan memintanya membantu membuktikan kelemahan sistem eNTRI itu dengan melakukan permohonan bagi seorang warga China yang disenarai hitam.

Selepas langkah itu diikuti, dengan bantuan Raymond, wartawan berjaya memperoleh eNTRI selepas memuat naik imej pasport dan gambar terkini seorang warga China yang namanya sudah disenarai hitam untuk memasuki Malaysia.

Raymond mendakwa, kelemahan sistem berkenaan menyebabkan ramai wanita China yang terbabit dengan sindiket pelacuran dan disenarai hitam boleh masuk semula ke Malaysia.

Caranya, membuat pasport baharu selepas diusir keluar dari Malaysia dan mendaftar melalui eNTRI untuk masuk semula.

UKSB pengendali tunggal lulus permohonan

Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) adalah pengendali tunggal menguruskan visa kemasukan pelancong China ke Malaysia dengan kelulusan diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia dibuat berasaskan satu surat pekeliling bertarikh 7 September 2012 yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika itu, Datuk Seri Alias Ahmad.

Melalui pelantikan itu, setiap pemohon visa Malaysia di China ke Malaysia perlu dipohon melalui UKSB selaku Operator Pusat Sehenti untuk tujuan tapisan awal keselamatan.

Pada 2016, Ketua Pengarah JIM ketika itu iaitu Datuk Seri Sakib Kusmi menandatangani satu pekeliling baharu iaitu mengenai pelaksanaan pengecualian visa untuk pelancong China yang dikenali sebagai eNTRI.

Arahan awal itu dikuatkuasakan bermula 1 Mac 2016 hingga 31 Disember tahun yang sama. Namun, pelaksanaan eNTRI terus disambung setiap tahun sehingga kini.

Seorang ejen pelancongan China yang mahu dikenali sebagai Raymond mendedahkan, bermula tarikh berkenaan, JIM tidak lagi berperanan sebagai pihak yang menerima, memproses dan meluluskan visa.


PINTU masuk pejabat OSC.

Raymond berkata, walaupun kerajaan Malaysia memansuhkan fi visa untuk tujuan menarik pelancong China ke Malaysia, UKSB mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RMB160 (RM100) bagi setiap permohonan eNTRI tanpa sebarang perolehan kepada kerajaan.

“UKSB juga mengenakan bayaran RMB200 (RM120) untuk perkhidmatan eVisa dan Pelekat Visa. Namun, bagi dua kemudahan ini RMB80 (RM50) disalurkan hasil kerajaan.

“Yang lucu, UKSB sebenarnya hanya menyediakan sistem yang berkait dengan server (sistem) semakan JIM. Malah, kos menghasilkan pelekat visa termasuk dakwatnya ditanggung sepenuhnya kerajaan Malaysia,” katanya.

Raymond mendakwa UKSB masih mempunyai kontrak sehingga 2020 sebagai pengendali visa bagi rakyat China dan beberapa negara lain bagi kemasukan ke Malaysia.

Sementara itu, Harian Metro menghubungi UKSB yang beribu pejabat di Cyberjaya sebanyak dua kali bagi mendapatkan komen berkenaan isu itu.

Seorang pekerja syarikat itu memaklumkan, pengarah syarikat tiada di pejabat manakala pembantu peribadinya pula bercuti.


SURAT kelulusan yang dianugerahkan kerajaan kepada UKSB selaku pengendali tunggal di PRC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 10:09 AM