ISTERI Zaibo, Siti Hawa Sawal (tengah) ketika pengebumian Allahyarham Zainal Ariffin Abd Hamid atau dikenali sebagai Zaibo di Tanah Perkuburan Islam Rengit, Batu Pahat. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my


JENAZAH pelakon veteran dan pelawak terkenal, Zainal Ariffin Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Zaibo selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit, Batu Pahat, 9.30 malam, hari ini.

Terdahulu, jenazah Zaibo dibawa ke Masjid Rengit dari kediamannya di Jalan Sekolah Menengah Permata Jaya untuk disembahyangkan oleh kira-kira 200 jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, rakan artis, peminat dan penduduk sekitar pekan kecil itu selepas solat Isyak.

Jenazah pelakon itu kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Rengit yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid berkenaan, 9.05 malam tadi untuk dikebumikan berdekatan pusara ibu dan bapa mertuanya.

Zaibo, 62, yang berasal dari Anak Bukit, Kedah meninggal dunia di rumahnya di Batu Pahat, 1.30 tengah hari tadi dan berita sedih itu dikongsi oleh anak tirinya, Muhammad Nur Hafiz Hamdan, 29 dalam laman sosial Facebook (FB) yang mengesahkan Zaibo meninggal dunia akibat kanser esofagus (Esophageal Cancer) tahap empat.

Allahyarham popular menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom, Spanar Jaya, selain turut berlakon filem Anna & the King.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Siti Hawa Sawal, 52, dan sembilan anak tiri berusia 10 hingga 33 tahun.

Berita berkaitan

‘Dia pesan, jaga anak-anak..’

Zaibo 'pergi' dalam wuduk

Zaibo sudah tiada...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:06 PM