TENGKU Adnan diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murni Wan Omar


BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah RM3 juta berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tengku Adnan, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Tengku Adnan, 68, didakwa menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Ia sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 27 Disember 2013.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau mana-mana lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa atas pertuduhan pilihan bagi kesalahan yang sama.

Bagi perbuatan itu, Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan didakwa menerima rasuah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Bagi perbuatan itu, Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Tengku Adnan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, Datuk S Satharuban, Quek Ming Sen, Kee Shu Min.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta, dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 3:32 PM