AHMAD Baihaki bersama koleksi seluar denim vintaj kesayangannya. FOTO Owee Ah Chun.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bangi: Minat terhadap denim mendorong pengumpul dan peniaga, Ahmad Baihaki Hussin, 38, membeli sehelai seluar jenama Levi’s deadstock (edisi terhad) yang harga pasarannya dianggarkan RM180,000.

Ahmad Baihaki berkata, seluar model 502 keluaran 1922 itu dibeli di Jepun, empat bulan lalu.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, seluar berkenaan dibeli menggunakan wang simpanannya dan kini menjadi koleksi termahal dimilikinya sejak mengumpul denim 20 tahun lalu.

“Sebenarnya, saya mula mengumpul seluar denim sejak dari bangku sekolah lagi dan minat itu berterusan sampai ke hari ini.

“Setakat ini, saya menyimpan lebih 20 helai seluar denim pelbagai jenama. Seluar ini dibeli daripada penjual di Thailand, United Kingdom (UK) dan Jepun serta peniaga tempatan.

“Apa yang menarik harga seluar berkenaan ketika dibeli agak murah, tapi sekarang nilainya meningkat berkali ganda sampai puluhan ribu ringgit,” katanya.

Menurut Ahmad Baihaki, apa yang dilakukan bukan sekadar memenuhi minat sebaliknya dianggap sebagai pelaburan jangka panjang.

Jelasnya, seluar edisi terhad atau lebih popular dengan panggilan vintaj atau deadstock menjadi buruan ramai hingga ada yang sanggup membayar harga tinggi untuk mendapatkannya.

“Tak dinafikan ada yang kata apa saya buat ini membazir, tapi saya puas hati. Luarannya mungkin kelihatan lusuh, tetapi ramai tidak tahu itulah yang menjadikan seluar ini lebih bernilai dan mahal sekiranya dijual semula.

“Jadi, tiada apa yang merugikan kerana sejak kebelakangan ini, saya lihat harga seluar denim berjenama boleh meningkat antara 100 hingga 400 peratus,” katanya yang memiliki koleksi denim tahun 1922 hingga 1960.


AHMAD Baihaki menunjukkan seluar Levi’s yang harga pasarannya dianggarkan bernilai RM180,000. FOTO Owee Ah Chun.

Katanya, sebagai pengumpul, dia amat menitikberatkan soal penjagaan seluar bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.

“Seluar denim vintaj ini memerlukan penjagaan yang teliti jadi saya ambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpannya di dalam beg plastik.

“Memang kena elak daripada terdedah kalau tak, seluar akan berhabuk. Jika ada lembapan ia menyebabkan seluar kotor.

“Setakat ini, saya puas dan belum terfikir untuk menjual koleksi peribadi dalam simpanan, kerana bukan mudah untuk mendapatkannya,” katanya.

Sementara itu carian di portal List25 pula Guiness World Records, merekodkan sepasang seluar jeans dilelong pada harga AS$60,000 (RM251,000).

Jeans jenama Levi’s itu adalah satu-satunya seluar keluaran tahun 1900 masih elok untuk dipakai dan dilelong pada 2005.

Maklumat daripada portal sama memaklumkan Secret Circus, menjual sehelai seluar jeans bertatahkan berlian bernilai AS$1.25 juta (RM5.2 juta).

Harga sehelai jeans itu adalah 22 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan purata keluarga di Amerika Syarikat pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 8:04 AM