ANTARA barang yang digunakan untuk memproses dadah yang dirampas pihak berkuasa. Gambar kecil, kilang yang diserbu polis.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Bongkar makmal memproses dadah jenis Methamphetamine yang dianggap terbesar di Malaysia tahun ini.

Itu antara kejayaan terbaru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merampas beratus kilogram dadah Methamphetamine atau syabu dianggarkan bernilai lebih RM20 juta.

Sumber berkata, kejayaan itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang menyerbu sebuah premis kilang di Semenyih, kelmarin.

Menurutnya, polis terlebih dahulu bertindak menahan dua suspek lelaki yang menaiki sebuah lori berhampiran kilang dadah berkenaan awal pagi, kelmarin.

Pemeriksaan dilakukan polis di dalam premis itu kemudian menemui pelbagai peralatan digunakan untuk memproses dadah syabu antaranya mesin pengisar, silinder, mesin pemanas, ketuhar, berpuluh balang dan bikar kaca.

“Turut dirampas beberapa tong berisi cecair Methamphetamine yang dipercayai baru diproses selain guni berisi Methamphetamine sudah diproses.

“Semua dadah itu dianggarkan seberat hampir 300 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM20 juta mengikut harga pasaran.

“Bagaimanapun dadah ini boleh meningkat harganya tiga atau empat kali ganda apabila diseludup ke negara jiran atau ke Australia,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan dua lelaki itu, polis memberkas tiga lagi ahli sindiket terbabit di ibu kota pada hari sama.

Menurutnya, siasatan mendapati lima suspek berkenaan adalah warga tempatan dan bekerja sebagai buruh, kontraktor, pemandu teksi dan peniaga.

Menurutnya, mereka kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 6 Ogos lalu, polis turut menahan enam ‘ahli kimia’ tempatan dan warga India yang mahir memasak syabu selain merampas dadah bernilai RM2.4 juta di kandang kambing dalam ladang sawit di Linggi, Negeri Sembilan.

Manakala pada 13 Februari lalu, polis turut membongkar makmal memproses dadah disyaki syabu merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta di sekitar Negeri Sembilan serta Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 9:10 AM