FOTO Hiasan.
Redzuan Muharam
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Hasil kajian dilakukan Kumpulan Penyelidikan Ergonomik (ERGO-UM) Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) menunjukkan wanita berumur 50 tahun ke atas lebih banyak melakukan kesalahan ketika memandu berbanding lelaki berusia sama.

Kajian sejak 2016 itu dijalankan Profesor Madya Ir Dr Siti Zawiah Md Dawal bersama Profesor Ir Dr Nukman Yusoff serta penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal, Nurul Izzah Abd Rahman.

Dr Siti Zawiah berkata, berdasarkan hasil kajian, hampir 80 peratus daripada jumlah pemandu wanita tidak memberi isyarat ketika berhenti di persimpangan jalan.

Hasil kajian juga mendapati wanita tidak memberi isyarat ketika menukar lorong di lebuh raya. Manakala 53 peratus lelaki pula didapati melakukan lebih banyak kesalahan di lebuh raya dan juga tidak memberi isyarat ketika menukar lorong.

Menurutnya, kesalahan itu mungkin disebabkan faktor peningkatan usia yang boleh menyebabkan penurunan fungsi dan persepsi visual, kognitif (proses mental seperti perhatian, kelajuan memproses maklumat dan daya ingatan) serta psikomotor (pergerakan fizikal) yang mana ketiga-tiga elemen itu saling berkait rapat.

Siti Zawiah berkata, kajian dimulakan dengan soal selidik menggunakan Driving Habits Questionnaire dibangunkan penyelidik dari Universiti Alabama, Amerika Syarikat.


PESERTA memakai Electro-cap pada kepala yang berfungsi memantau isyarat otak seterusnya menganalisa serta melihat sejauh mana mereka bertindak ketika berdepan dengan situasi ketika memandu. FOTO E-mel

“Ia dilakukan secara rawak terhadap 182 pemandu yang majoritinya mempunyai pengalaman memandu lebih 21 tahun serta memilih kereta jenis sedan sebagai kenderaan paling kerap digunakan semasa memandu,” katanya.

Katanya, hasilnya menunjukkan 54 peratus jumlah peserta berumur 50 tahun ke atas mengalami kesukaran memandu ketika waktu puncak manakala 45 peratus berdepan masalah sewaktu aliran trafik berkapasiti tinggi.

“Kajian diteruskan dengan menjalankan eskperimen awal terhadap 30 pemandu lelaki dan wanita berumur 50 tahun ke atas bertujuan mengetahui sejauh mana umur mempengaruhi cara pemanduan mereka menerusi analisis ergonomik ketika memandu di tiga jenis jalan iaitu di bandar, luar bandar dan lebuh raya dalam tempoh 30 minit iaitu 10 minit untuk setiap laluan,” katanya.

Dr Siti Zawiyah berkata, eksperimen itu dijalankan menggunakan kaedah pengukuran khas Elektroensefalografi (EEG) dengan memakaikan alat Electro-cap pada kepala peserta bagi merekod dan memantau isyarat otak di samping penilaian subjektif oleh pemandu menggunakan soal selidik.

“Data ini seterusnya dianalisis untuk mengetahui beban kerja serta sejauh mana kepantasan pemandu bertindak apabila berdepan sesuatu situasi,” katanya.

Kata Dr Siti Zawiah, kesalahan pemanduan dinilai berdasarkan Kurikulum Pendidikan Pemandu ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika eksperimen dijalankan.

Katanya, kesalahan di lebuh raya yang dinilai termasuklah pemanduan melebihi had laju, masuk ke lorong salah semasa menghampiri atau berada dalam bulatan atau persimpangan, tidak memberi isyarat ketika berhenti di persimpangan dan semasa menukar lorong.

“Manakala, kesalahan melanggar lampu merah, berada di lorong salah di bulatan, tidak memberi isyarat di persimpangan dan ketika menukar lorong dinilai untuk pemanduan luar bandar.

“Soal selidik dan eksperimen awal itu dijalankan bagi mendapatkan dapatan yang boleh digunakan sebagai rujukan pada masa akan datang dan kajian lanjut diperlukan untuk mengenalpasti segala faktor serta mengetahui punca perbezaan kesalahan pemanduan antara lelaki dan wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 11:00 AM