PERJUANGAN TSW yang Jonathan Chua (penyanyi, gitar), Benjamin Kheng (gitar, keyboard, penyanyi), Narelle Kheng (bass, penyanyi) dan Sandra Riley Thang (keyboard, perkusi, penyanyi).
Georgie Joseph


KETIKA memulakan karier enam tahun lalu, The Sam Willows (TSW) masih lagi muda remaja dan semangat mereka berkobar-kobar. Kumpulan dari Singapura ini berazam membina nama yang kukuh di seluruh dunia.

Perjuangan TSW yang Jonathan Chua (penyanyi, gitar), Benjamin Kheng (gitar, keyboard, penyanyi), Narelle Kheng (bass, penyanyi) dan Sandra Riley Thang (keyboard, perkusi, penyanyi) tidak sia-sia apabila berjaya meraih perhatian seluruh dunia.

Bukan setakat Asia, mereka juga memiliki peminat dari Eropah dan negara Barat lain.

Ketika karier semakin berkembang, TSW menyedari perjuangan mereka kini bukan lagi sekadar mengejar trofi, sebaliknya lebih untuk berseronok dengan kehidupan dan mengejar kebahagiaan Menurut Benjamin, itu bermakna mereka tidak lagi serius membikin muzik sebaliknya mahu seimbangkan nikmat hidup dengan kerjaya.

“Ketika bermula dulu, kami seperti remaja lain yang dahagakan kejayaan dalam setiap perkara kami usahakan. Kami memang berazam untuk membina legasi yang cukup kuat dan mengejar segala impian.

“Namun, enam tahun dalam industri muzik mengajar kami pelbagai pengalaman. Mencari kebahagiaan itu sebenarnya paling penting. Lagipun setiap anggota masing-masing mempunyai minat dalam pelbagai bidang lain.

“Kami tidak mahu terlalu terikat dengan konsep sebuah kumpulan muzik dengan komitmen menghasilkan muzik setiap masa. Sebaliknya kami memutuskan untuk berkarya dengan cara mencari kebahagiaan menerusi muzik dan pada masa sama menikmati hidup.

“Paling penting, kami sudah berhenti untuk membandingkan kumpulan ini dengan sesiapa pun. Ternyata, kami jauh lebih senang hati apabila memutuskan untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, TSW juga teruja apabila tampil dengan album terbaru mereka berjudul I Know, But Where!. Melihat kepada sambutan album berkenaan, jelas muzik mereka masih tetap kukuh di sekitar

Asia Tenggara.

Berkongsi lanjut mengenai proses pembikinan album terbabit, Benjamin mengakui mereka masih lagi menggunakan pendekatan cara lama dalam menghasilkan karya mereka.

“Pada era ini, biasanya lagu penyanyi sudah ditentukan penerbit ataupun penyanyi itu sendiri memang tetapkan lagu yang wajib dinyanyikan. Tetapi kami tidak berbuat demikian dan selesa dengan konsep penyatuan idea semua.

“Setiap daripada kami ada pandangan masing-masing dan sentiasa mahu berikan idea berbeza. Dari situ, kami bincang dan kumpulkan idea itu

untuk lagu kami.

“Secara dasarnya, kami akan kumpul idea rawak dan tampil dengan hasil daripada perbincangan itu. Kadang-kadang idea itu menjadi dan sebaliknya,” katanya.

Menerusi album itu, TSW juga mahu berkongsi mengenai pendapat mereka terhadap kehidupan pada masa kini.

Hala tuju album itu lebih berkisar kepada apa yang mereka ingin sampaikan berdasarkan kisah hidup setiap anggotanya.

“Ia banyak mengambil cerita daripada apa yang kami lalui. Semakin meningkat dewasa, semakin banyak perkara yang kita pelajari dan tidak ketinggalan pancaroba hidup.

“Dalam menjalani kehidupan, kita pasti tidak terlepas daripada pelbagai jenis ketakutan yang tiba-tiba menerpa. Begitu juga dalam hal persahabatan, hubungan dan lain-lain yang sebenarnya menarik untuk dikongsikan.

“Jadi, kami mahukan lagu kami menjadi

medium untuk berkongsi pelbagai perspektif termasuklah juga isu berat dalam kehidupan,” katanya.

Baru-baru ini, TSW hadir ke Malaysia mempromosikan album terbaru mereka itu. Dalam masa sama, turut membuat persembahan di sebuah pusat hiburan terkenal di Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 500 penonton.

Bersempena album baru itu, TSW juga mengumumkan bakal melangsungkan konsert siri jelajah sekitar Asia Tenggara tahun depan.

Selain Singapura, mereka juga akan ke Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 6:00 AM