Mohmad (tiga dari kanan) menunjukan dadah yang dirampas bernilai RM6.75 juta pada sidang media JSJN di IPD Wangsa Maju.
Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Guna khidmat ahli kimia dari Russia bagi menghasilkan formula memproses dadah.

Itu modus operandi sindiket memproses dan mengedar dadah yang beroperasi di dua banglo sebagai makmal menghasilkan bahan terlarang berkenaan.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan empat serbuan di sekitar Lembah Klang jam 5.45 petang hingga jam 10.30 malam, Selasa lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya menahan 10 ahli sindiket membabitkan seorang lelaki Russia, enam lelaki warga India serta tiga warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 39 tahun.

“Dalam serbuan pertama, kami menyerbu sebuah banglo di Jalan Ampang dan menahan seorang lelaki warga Russia yang juga ahli kimia berusia 31 tahun dan dua lelaki India. Serbuan kedua pula dilakukan di Jalan Kemajuan, Petaling Jaya yang menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

“Hasil tangkapan itu, kami membuat serbuan di sebuah banglo di lokasi berkenaan dan menahan empat lelaki warga India. Serbuan ketiga dilakukan di lobi sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, yang menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Pemeriksaan di kawasan parkir hotel berkenaan menemui sebuah kenderaan mengandungi sejumlah serbuk ephedrine (prekursor ephedrine), manakala seorang wanita tempatan berusia 27 tahun pula ditahan dalam serbuan keempat di lobi sebuah hotel di Jalan Ampang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, semalam.

Mohmad berkata, hasil serbuan itu pihaknya membongkar dua makmal memproses dadah dipercayai dikendalikan sindiket terbabit di dua banglo masing-masing di Jalan Ampang dan Jalan Kemajuan.

“Modus operandi sindiket itu adalah mengupah ahli kimia Russia dengan bantuan enam lelaki warga India untuk memproses dadah di dua makmal berkenaan.

“Kami merampas 92.44 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 22.05kg cecair disyaki syabu, 1.85kg dadah disyaki kokain dan 32.6kg serbuk disyaki prekursor ephedrine yang dianggarkan bernilai RM6.75 juta.

“Selain itu, kami merampas enam kenderaan iaitu BMW 6 Series, Honda City, Honda Accord, Toyota Hilux, Perodua Axia, sebuah motosikal, wang tunai berjumlah RM10,840, satu jam tangan berjenama, satu rantai leher serta satu pistol semi auto,” katanya.

Katanya, bekalan dadah itu dipercayai untuk diedarkan bagi pasaran tempatan dan luar negara terutama di negara jiran.

“Berdasarkan jumlah rampasan dadah itu, ia dapat menjadi bekalan kepada lebih 500,000 penagih. Sindiket itu dipercayai boleh menghasilkan sehingga 25kg dadah jenis syabu pada setiap sekali pemprosesan.

“Semua suspek direman hingga 4 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 7:32 AM