ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 225, Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi di Rembau, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


DUA individu maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 225, Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi di Rembau, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata kejadian pada 1.26 tengah hari itu menyaksikan enam mangsa cedera manakala enam lagi terselamat.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira dari arah Melaka menuju ke Seremban hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori di lokasi kejadian.

Menurutnya, kereta berkenaan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan sebuah kereta Mercedes.

“Kemalangan itu menyebabkan lelaki yang memandu Proton Wira maut, seorang penumpang wanita dewasa cedera dan dua remaja serta seorang kanak-kanak terselamat.

“Seorang penumpang dalam kereta Mercedes maut, manakala dua lelaki dan dua wanita cedera dan seorang bayi terselamat.

“Bagi Proton Exora pula, pemandunya iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak terselamat dalam insiden itu manakala pemandu lori cedera,” katanya.

Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.27 tengah hari dan mengerahkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau ke lokasi dan dibantu enam anggota dari BBP Tampin.

“Mangsa yang maut adalah pemandu Proton Wira iaitu Mohd Azzarnuddien Abdullah, 41, dari Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor dan penumpang Mercedes iaitu Sharifah Hawa Syed Mokhtar, 55, yang berasal dari Labis, Johor.

“Mayat kedua-dua mangsa maut itu dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:36 PM