WAKIL Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Pahang, Rosnani Razali menyerahkan kerusi roda dan sumbangan kepada Mariatina. FOTO NSTP
Mohamad Hussin

Kuala Lumpur: “Dialah satu-satunya anak kami. Walaupun sedih dengan kehilangan kembarnya selepas 11 hari dilahirkan namun kami reda dengan ketentuan-Nya.

“Ketika mengandung, saya diberitahu doktor bahawa kandungan saya mempunyai masalah tulang belakang bengkok dan dinasihatkan supaya salah seorang anak kembar kami digugurkan akibat komplikasi penyakit itu namun saya enggan dan tawakal mudah-mudahan mereka selamat,” kata Mariatina Jaafar, 37, ibu kepada Nurul Nisha Mohd Yasin, 15, yang mengalami masalah penyakit skoliosis atau tulang belakang bengkok sejak dilahirkan.

Bagaimanapun, katanya, kembar Nurul Nisha, Nurul Nasha meninggal dunia selepas 11 hari dilahirkan dan dia turut mengalami masalah sama.

“Nurul Nisha pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan selama tiga bulan selepas dilahirkan kerana penyakit berkenaan.

“Bagaimanapun, saya dan suami, Mohd Yasin Muda tidak pernah putus asa dan berdoa semoga Nurul Nisha diberikan kesembuhan,” katanya yang dihubungi di rumahnya di FELDA Bukit Sagu, Kuantan, Pahang, semalam.

Mariatina berkata, penyakit Nurul Nisha semakin serius sejak dua tahun lalu sehinggakan tidak mampu berjalan dan berdiri sebaliknya hanya terbaring sepanjang waktu.


NURUL Nisha bersama ibu bapanya. FOTO NSTP

“Malah, Nurul Nisha juga tidak boleh bertutur dengan baik dan saya terpaksa menyusun jadual makan dan minumnya kerana bimbang dia akan kelaparan.

“Setiap jam 8 pagi, saya akan memberikan sarapan sama ada roti atau nasi manakala pada jam 10 pagi, saya beri dia minuman susu khas sebelum makan tengah hari.

“Di sebelah petang pula, saya akan memberikan dia makan kuih atau roti dan susu. Begitulah rutin harian saya memberi sepenuh perhatian kepada Nurul Nisha,” katanya.

Menurutnya, Nurul Nisha juga perlu dipakaikan bengkung dari paras pinggang hingga dada setiap hari bagi mengelak sakit badan dan senget.

“Dia juga perlu dipakaikan lampin pakai buang setiap hari. Alhamdulillah, Nurul Nisha ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM350 sebulan bagi membiayai kos rawatan dan pembelian susu serta lampin pakai buang.

“Saya juga berterima kasih kepada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial yang menyumbang kerusi roda khas untuk kegunaan Nurul Nisha,” katanya yang tidak bekerja manakala suaminya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.

Katanya, buat masa ini, Nurul Nisha tidak akan menjalani pembedahan tulang belakang bengkok dan kos yang diperlukan hanya untuk menampung pembiayaan lain-lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang di akaun Agrobank milik Mariatina bernombor 2001521000023763.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 9:00 AM