Yasin memberi makan dua ekor anjing di Bukit Tabur. FOTO Ihsan IG Yasin
Yasin memberi makan dua ekor anjing di Bukit Tabur. FOTO Ihsan IG Yasin
Georgie Joseph


PENYANYI Yasin Sulaiman menganggap fotonya bersama dua ekor anjing yang dimuat naik di Instagram sekadar perkongsian pengalamannya dengan haiwan itu.

Yasin, 43, berkata pengalaman itu perkara yang baik untuk dikongsinya meskipun pastinya ada sesetengah pihak memandang sinis.

“Saya cuma memberi makan kepada anjing itu dan tidak menyentuhnya pun. Kejadian berlaku sewaktu saya dan abang mendaki Bukit Tabur pagi ini.

“Mulanya kami terkejut apabila empat ekor anjing muncul tapi tak risau pun disebabkan haiwan berkenaan sangat mesra. Lebih menarik, haiwan itu mengekori kami naik sampai atas hinggalah turun bawah.

“Sewaktu menjamah roti yang kami bawa bersama, saya kongsikannya kepada haiwan itu. Haiwan itu pun nampak sangat gembira dapat makanan,” katanya.

Menurut penyanyi Mimpi Laila itu, dia ragu-ragu juga untuk memuat naik foto berkenaan awalnya.

“Sebelum memuat naik foto itu, saya sempat meminta pendapat dengan abang saya sama ada patut atau tidak kongsikannya. Tapi bila fikir-fikirkan balik, buat apa saya nak risau sebab tak ada isu pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 4:10 PM