Airit Qaqa (kiri) dan Airit Rayyan (kanan) harap Zafuan mereka akan beraksi menentang Vietnam. FOTO HM Digital. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“RAYYAN harap daddy sihat dan boleh main esok. Jadi, boleh Rayyan dan adik tengok daddy di TV,” kata anak sulung pelakon Rita Rudaini iaitu Airit Rayyan, 9, mengenai bapanya, Aidil Zafuan Abd Radzak, pemain skuad kebangsaan yang menentang Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Rayyan berkata, minggu lalu dia tidak berpeluang menyaksikan Aidil Zafuan bermain apabila pemain pertahanan Harimau Malaya itu mengalami kecederaan.

Menurut Rayyan, jika bapanya diturunkan dalam kesebelasan utama, dia berharap Aidil Zafuan boleh menjaringkan gol.

“Rayyan bertanya pada mummy juga di mana daddy? Mummy kata daddy cedera dan sebab itu Thailand dapat jaringkan gol. Kalau daddy ada mesti takkan gol.

“Jadi, Rayyan, adik dan mummy sentiasa doakan daddy sihat dan boleh beraksi dengan baik. Mummy cakap nak bawa Rayyan tengok di kedai mamak esok.

“Tak dapat tengok daddy depan mata pun tak apa asalkan dapat tengok dia bermain. Semoga pasukan Malaysia menang,“ katanya kepada Harian Metro ketika ditemui.

Sementara itu, Rita mengakui mendapat pelawaan daripada pelbagai pihak untuk menyaksikan final itu tetapi dia menolaknya dengan baik.

“Diakui, sejak dari awal kejohanan lagi ramai pihak nak beri tiket. Begitu juga untuk perlawanan esok, tetapi saya menolaknya. Namun, jika jemputan itu datang daripada Aidil Zafuan sendiri, mungkin saya boleh pertimbangkan.

“Apa pun, jika tak dapat ke stadium saya tetap akan sokong pasukan Malaysia. Semoga Aidil sihat dan boleh bermain dengan cemerlang,” katanya.

Seorang lagi anak Rita ialah Airit Qaqa Arjuana, 7.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:30 PM