AMY menunjukkan pingat yang diterimanya selepas dinobatkan sebagai Anugerah Olympian Tahunan MOM 2018 pada Majlis Makan Malam Tahunan & Malam Anugerah MOM ke-25 Tahun 2018 di Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail. FOTO/AZHAR RAMLI
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat
sukanteam@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan gimnas, Amy Kwan masing-masing dinobatkan penerima Anugerah Olimpian Terbaik 2018 buat julung kalinya di sini malam ini.

Dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-25 itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr wan Azizah Wan Ismail menyampaikan hadiah wang tunai RM10,000 dan juga pingat Olimpian.

Biarpun permulaan tahun ini menyaksikan Azizulhasni berdepan dengan jangkitan virus sehingga menyebabkan dia tidak dapat mempertahan jersi pelangi pada Kejohanan Dunia di Apeldoorn, Mac lalu selain pulang dengan tangan kosong ketika Sukan Komanwel Gold Coast, dia bangkit di Sukan Asia Jakarta dengan membolot satu emas, satu perak dan satu gangsa, masing-masing dalam acara pecut individu, pecut berpasukan dan juga keirin.

"Anugerah ini akan saya jadikan sebagai sumber motivasi dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo. Terima kasih saya ucapkan kepada MOM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa menyokong karier saya sebagai atlet," katanya yang tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di London bagi menyertai siri Piala Dunia.

"Selepas di London, saya akan terus ke Kejohanan Trek Asia di Jakarta dan kemudian sambung Piala Dunia di New Zealand. Jadual musim ini sehingga tahun hadapan agak padat namun ini semua sebagai persiapan untuk saya ke Olimpik Tokyo nanti," kata The Pocket Rocketman itu yang menjadi pelumba basikal kedua menerima anugerah itu selepas Josiah Ng yang memenanginya pada 2004.

Sementara itu, Amy yang muncul atlet gimnastik berirama pertama mencipta sejarah merangkul anugerah berkenaan berkata, dia terkejut dan langsung tidak menyangka dinobatkan penerima anugerah Olimpian Terbaik untuk tahun ini. 


AZIZUL (kiri) dan Amy Kwan masing-masing dinobatkan penerima Anugerah Olimpian Terbaik 2018.

Pencapaian dua emas dan dua perak di Sukan SEA Kuala Lumpur, selain turut cemerlang di temasya Komanwel apabila meraih emas acara riben, perak (berpasukan dan individu keseluruhan) serta gangsa (gelung) membolehkannya meraih anugerah berprestij itu. 

“Saya langsung tidak sangka dinobatkan penerima anugerah ini. Ia pembakar semangat saya untuk kembali berlatih biarpun baru menjalani pembedahan buku lali kiri minggu lalu. 

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan kepada saya kerana setiap daripada mereka memainkan peranan penting dalam menyokong apa yang saya lakukan sehingga berjaya ke peringkat ini. Tanpa mereka saya tidak akan sampai ke tahap seperti sekarang,” kata Amy, 23. 

Amy turut mengucapkan terima kasih kepada MOM, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Naib Presiden MGF Petrina Low dan semua jurulatih dan pengadil selain Kementerian Belia dan Sukan, MSN, ISN dan Kementerian Pendidikan kerana sokongan yang diberikan. 

MOM turut menyampaikan Anugerah Khas MOM kepada pemain badminton wanita, Goh Jin Wei dan juga pasukan hoki lima sebelah negara yang menjadi penyumbang pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Belia ketiga di Buenos Aires. Kejayaan mereka turut menyenaraikan nama mereka di Malaysia Book of Record sebagai atlet pertama Malaysia memenangi emas acara individu dan juga berpasukan di Sukan Olimpik Belia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan wang tunai RM10,000, Trofi Khas dan juga sijil Malaysia Book of Record manakala pasukan hoki menerima RM18,000, Trofi Khas dan juga sijil Malaysia Book of Record. 

 

Senarai Penerima Anugerah

Olimpian Terbaik 2018 

Azizulhasni Awang (basikal trek)

Amy Kwan Dict Weng (gimnastik)

Senarai Baru Dewan Kemasyuran MOM:

Tunku Imran Tuanku Ja’afar  

Jen (B) Tan Sri Hashim Mohd Ali 

Pasukan Badminton Komanwel 1998 

Wong Choong Hann

Ong Ewe Hock

Yong Hock Kin

Yap Kim Hock

Cheah Soon Kit

Lee Wan Wah 

Pasukan Gimrama Komanwel 1998 

Carolyn Au Yong

El Regina Tajudin

Thye Chee Kiat

Sarina Sundara Rajah

Anugerah Sukan Wanita MOM

Susan Loh Su Fang (Naib Presiden Persekutuan Hoki Ais).

Anugerah Khas MOM 

Goh Jin Wei (Badminton)

Pasukan Hoki Remaja 5 sebelah 

Trofi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa

Persatuan Badminton Malaysia(BAM)

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 11:09 PM