MUHAMAD Khairul yang tersenrai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2019 bersama murid yang menyertai program Kemahiran Asas Masakan Bakeri dan Pastri. FOTO ihsan Muhamad Khairul Anuar Hussin
Redzuan Muharam


BAKTI dicurahkan Dr Muhamad Khairul Anuar Hussin, 40, selama 19 tahun dalam bidang perguruan tidak sia-sia apabila dia tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2019 yang berlangsung Februari depan.

Menerusi program anjuran Yayasan Varkey, berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Muhamad Khairul Anuar, yang juga wakil tunggal negara akan bersaing untuk berebut hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.28 juta). Muhamad Khairul Anuar kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2 di Skudai.

Katanya, dia mengetahui perkara itu selepas senarai 50 finalis dari serata dunia diumumkan di laman web www.globalteacherprize.org.

Dia rasa syukur kerana dapat mewakili negara dan berharap beroleh kemenangan atau sekurang-kurangnya berada dalam 10 kelompok finalis terbaik anugerah berkenaan.

“Niat saya menghantar penyertaan adalah untuk berkongsi kisah sepanjang menjadi guru pendidikan khas selain menjadi inspirasi kepada warga pendidik di negara ini.

“Alhamdulillah, percubaan sulung saya berhasil apabila tersenarai. Saya bukan sekadar mewakili guru seluruh Malaysia sebaliknya guru pendidikan khas secara tidak langsung.

“Kini, saya hanya mampu berdoa, tawakal dan menyerahkan kepada pihak juri untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Muhamad Khairul Anuar, sepanjang berkhidmat sebagai guru pendidikan khas, pelbagai inisiatif dilakukannya untuk membantu murid dan pelajar berstatus orang kurang upaya (OKU).

Anak kelahiran Endau, Johor itu berkata, antaranya menganjurkan program intervensi awal membabitkan kunjungan ke rumah keluarga OKU di beberapa daerah di Johor berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Program itu adalah inisiatif saya sejak tahun 2000 lagi bertujuan memberi penerangan mengenai keperluan dan peluang pendidikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU.

“Usaha dilakukan amat perlu kerana ada dalam kalangan ibu bapa atau penjaga tidak tahu bagaimana untuk mendaftarkan anak mereka, jadi saya kena bantu.

“Bantuan diberikan adalah seperti membuka kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth untuk murid cacat penglihatan dengan harapan mereka mendapat pendidikan awal dan tidak tercicir walaupun tinggal di luar bandar,” katanya.

Muhamad Khairul Anuar berkata, sekiranya terpilih sebagai pemenang, dia berhasrat menggunakan sebahagian wang diterima untuk membangunkan pusat pendidikan khusus untuk murid tidak diterima dalam sistem persekolahan.

Jelasnya, wang berkenaan juga akan digunakan untuk membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang mencari hala tuju selepas tamat persekolahan.

“Lokasi pusat pendidikan berkenaan sudah ada dan setakat ini mempunyai 12 murid tetapi belum dapat beroperasi sepenuhnya kerana tidak ada dana.

“Pusat pendidikan berkenaan dijangka memerlukan RM15,000 hingga RM18,000 setiap bulan. Seandainya dipilih sebagai pemenang, saya tekad meneruskan apa yang dirancang.

“Niat saya membantu murid memerlukan dan diharap, usaha ini menyuntik semangat lebih ramai pendidik di luar sana untuk berbakti kepada anak OKU,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 11:14 PM