NORLIZA menunjukkan sate ayam yang belum dibakar.
Zuliaty Zulkiffli


JITRA: “Saya masih kekalkan harga sate 30 sen secucuk walaupun harganya tidak sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang,” kata peniaga sate Viral, Norliza Ali, 40.

Menurutnya, dia yang mewarisi perniagaan arwah bapanya, Mat Ali Itam menjalankan perniagaan itu sejak 1960 dan kini berniaga di Kampung Seberang dekat sini, sejak tiga tahun lalu dengan menjualnya pada harga 25 sen secucuk.

Katanya, dia mengambil alih perniagaannya seawal usia 17 tahun apabila ibu bapa meninggal dunia.

“Walaupun harganya dinaikkan kepada 30 sen untuk sate ayam dan 50 sen bagi sate daging tidak merugikan, malah saya sangat berpuas hati kerana sate yang dijual makin dikenali.

“Saiz sate pun saya masih kekalkan seperti dulu, tidak berani nak kecilkan lagi kerana pelanggan di sini biasa makan sate saya,” katanya.

Norliza berkata, pelanggan luar berkunjung ke gerainya terutama pada cuti sekolah hingga tidak menang tangan.

SATE Viral yang dijual Norliza pada harga 30 sen dan 50 sen di Kampung Seberang, Jitra.

Katanya, disebabkan terlalu banyak tempahan menyebabkannya menghadkan hingga 2,000 cucuk sehari saja berbanding sebelum ini kerana bimbang tempahan terlalu banyak.

“Sepanjang musim cuti sekolah ini saya menambah 1,000 cucuk setiap hari menjadikan 3,000 cucuk untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Walaupun masih mengekalkan harga murah, tetapi saya masih menggunakan resipi asal dengan perapan yang cukup supaya rasanya masih seperti dulu.

“Selain sate, kami menjual laksa pada harga RM4 dan nasi daging bakar pada harga RM6,” katanya.

Norliza berkata, dia dibantu suaminya, Zahibul Asfar, 34, dan dua pekerja, gerainya jualannya dibuka jam 5 petang hingga 10 malam setiap hari dan ditutup setiap Ahad.

Katanya, dia sering menerima jemputan untuk mengajar bakal peniaga daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MUDA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 8:31 AM